Isnin, 18 September 2017 | 3:55pm
ZADRIAN Chan Zhi Weng meraih pingat perak dalam acara akhir 200 meter gaya bebas lelaki S14 di Kompleks Renang Bukit Jalil. - Foto Luqman Hakim Zubir

Empat perak dua gangsa di hari pertama renang

KUALA LUMPUR: Skuad negara sekadar meraih empat perak dan dua gangsa dalam keseluruhan 20 acara final renang yang dipertandingkan pada hari pertama di Pusat Akuatik Nasional, Bandar Sukan Kuala Lumpur, hari ini.

Pengurus pasukan, Loke Chee Heng mengakui agak kecewa dengan persembahan perenang negara hari ini kerana Malaysia sepatutnya memperoleh sekurang-kurangnya satu pingat emas.

"Biarpun apa yang berlaku hari ini, kita kekal dengan sasaran 10 pingat kerana sukan ini akan dipertandingkan sehingga Jumaat ini dan kita masih mempunyai masa untuk mencapai sasaran itu.

"Apa pun saya akui persembahan perenang negara tidak begitu baik kerana saya kenal perenang kita dan mereka sememangnya mampu melakukan dengan lebih baik," katanya.

Untuk rekod, pada temasya sama di Singapura dua tahun lalu, Malaysia menamatkan saingan dengan mengutip tujuh emas, 13 perak dan empat gangsa menjadikan 24 pingat dikutip secara keseluruhan.

Chee Heng berkata, beliau merasakan punca persembahan yang kurang memuaskan itu disebabkan tekanan bertanding di tempat sendiri pada saingan hari pertama.

"Saya berharap kilauan emas dapat dijelmakan pada saingan hari kedua esok dan saya yakin persembahan perenang negara akan semakin bagus dalam beberapa hari ini," katanya.

Katanya, beliau kecewa dengan persembahan Anas Zul Amirul Sidi yang bertanding dalam acara 200 meter gaya bebas S14 (masalah pembelajaran) lelaki kerana dia mengharapkan perenang itu mampu menghasilkan pingat apabila dikatakan tidak melakukan yang terbaik.


PERENANG Malaysia, Carmen Lim memenangi pingat perak dalam acara akhir 100 meter wanita gaya bebas S8 di Kompleks Renang Bukit Jalil. - Foto Luqman Hakim Zubir

"Pada tiga bulan lalu, Anas berjaya mencatatkan 2 minit 16 saat dalam satu pertandingan di Portugal tetapi hari ini dia mencatat 2:25.87s.

"Jika dia kekalkan 2:16s tadi, sudah pastilah dia dapat emas namun kita bernasib baik apabila Zadrian Chan menang perak (2:18.87s)," katanya yang tidak menurunkan Anas dalam acara rampaian berikutan persembahannya.

Katanya satu lagi sandaran diletakkan kepada Carmen Lim dalam acara 100m gaya bebas S8 (kecacatan anggota tangan wanita) sekadar memenangi perak disebabkan perenang itu tertelan air kolam yang memperlahankan renangannya.

135 dibaca
Berita Harian X