Isnin, 18 September 2017 | 5:16pm
PERENANG Malaysia, Julius Jaranding memenangi pingat perak dalam acara akhir 50 meter kuak dada lelaki SB13 di Kompleks Renang Bukit Jalil. - Foto Luqman Hakim Zubir

Julius raih perak tanpa jurulatih

KUALA LUMPUR: Terpilih berada dalam Program Podium tidak memberi kelebihan buat perenang negara, Julius Jaranding apabila terpaksa berlatih tanpa jurulatih untuk menghadapi temasya Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 (Para KL2017).

Masalah itu pastinya menimbulkan rasa kecewa buat Julius yang kini memegang status sebagai atlet sepenuh masa.

Apapun, dia berterima kasih di atas keprihatinan jurulatih dari China, Li Xin Xin yang ada kalanya membantunya berlatih selepas tamat temasya Sukan Paralimpik Rio 2016.

Namun, Julius sedar dia tidak boleh meminta lebih daripada Xin Xin yang kini bertindak sebagai jurulatih di bawah Program Kita Juara, bukan Program Podium.

Begitupun, buat atlet yang mula mewakili negara sejak 2003 itu, pingat perak yang diraihnya hari ini dalam acara 50m kuak dada SB13 (masalah penglihatan) satu pencapaian yang menggembirakannya.

Katanya, catatan 35.53 saat adalah masa terbaik peribadinya, namun gagal mengatasi kehebatan perenang Indonesia, Marinus Melianus yang mencipta rekod baru kejohanan 34.05s untuk emas manakala gangsa milik Thailand Chaiporn Laobeng 38.01s gangsa.

"Kejayaan meraih perak ini amat menggembirakan saya kerana berjaya mencapai sasaran memperbaharui masa terbaik peribadi dalam acara kegemaran. Jika berjaya meraih emas itu satu bonus.

"Namun, atlet Indonesia kini semakin kuat dalam acara renang. Mereka mula menguasai kolam sejak 2014. Jika dulu saya antara pemegang rekod tapi kini tidak lagi dengan kehadiran perenang Indonesia," katanya.

Indonesia menamatkan cabaran hari pertama acara para renang dengan meraih 11 emas empat perak dan empat gangsa.

Sementara itu, Julius amat berharap permintaannya untuk mempunyai jurulatih sendiri akan dipenuhi kerana hanya dia satu-satunya atlet dalam kategori SB13.

Julius mengalami masalah penglihatan sejak berusia sembilan tahun selepas mengalami demam panas.

Selepas ini atlet berusia 31 tahun itu akan turun beraksi dalam acara 100m kuak dada dan 100m gaya bebas.

tamat

326 dibaca
Berita Harian X