;
Khamis, 5 Oktober 2017 | 9:54pm
PELUMBA Oliver's Real Food Racing, Brendon Davids menduduki tempat pertama dalam saingan peringkat ketiga Jelajah Malaysia 2017 di Dataran Kulim. - Foto Danial Saad

JM2017: Davids sekat dominasi TSG

KULIM: Dominasi Terengganu Cycling Team (TSG) dalam dua peringkat awal berakhir apabila pelumba Oliver's Real Food Racing, Brendon Davids secara solo melintasi garisan penamat peringkat ketiga Jelajah Malaysia 2017 (JM2017), sebentar tadi.

Dia meninggalkan kelompok besar pelumba ketika perlumbaan dari Kuala Kangsar memasuki jarak 63 kilometer di Bukit Sumpitan untuk menang dengan masa tiga jam 20 minit 15 saat.

Pelumba PDRM, Mohd Fauzan Ahmad Lutfi di tempat kedua, diikuti pelumba Team Sapura Cycling (TSC) Aiman Cahyadi.


PELUMBA memecut ke garisan penamat pada saingan peringkat ketiga Jelajah Malaysia 2017 di Dataran Kulim. - Foto Danial Saad

Ia membolehkan Davids menyarung jersi kuning bagi mendahului kategori individu keseluruhan dengan masa 10.31:29s, meninggalkan rakan sepasukan, Ryan Thomas dikedudukan kedua dengan masa 10.32:31s.

Bagaimanapun ia bukan jaminan kepada pasukan dari Australia itu bagi mengekalkan jersi utama yang menjadi rebutan apabila kemuncak perlumbaan akan berlangsung esok membabitkan pendakian ke puncak Gunung Jerai setinggi 1217 meter, kategori hors.

"Kami sudah meraih jersi kuning dalam dua peringkat, kami akan berjuang mempertahankannya walaupun sedar ia sukar. Ia akan menjadi bonus jika menang kerana ia adalah pendakian yang sukar," jelas Davids.

Mana-mana pelumba yang menjuarai peringkat keempat esok dengan catatan masa yang selesa dijangka muncul pemenang jersi kuning walaupun perlumbaan masih berbaki satu peringkat, pada Sabtu ini.


PELUMBA Oliver's Real Food Racing, Brendon Davids (tengah) bersama pelumba PDRM, Muhammad Fauzan Ahmad Lutfi (kiri) dan Aiman Cahyadi dari Team Sapura Cycling (TSC) pada peringkat ketiga Jelajah Malaysia 2017 di Dataran Kulim. - Foto Danial Saad

Tumpuan terarah kepada pelumba TSC dari Columbia, Victor Nino Corredor yang mempunyai rekod pendakian yang cemerlang.

Dia pernah meraih tempat kedua Le Tour de Langkawi (LTdL) 2012 ketika peringkat pendakian ke Genting Highlands ketika mewakili Azad University Cycling Team dari Iran.

"Esok pendakian yang sukar, saya tidak tahu apa akan berlaku, namun jika kondisi badan berada dalam keadaan baik, saya akan cuba menang peringkat keempat.

"Saya tidak melihat diri sendiri sebagai pelumba pilihan kerana ramai lagi pelumba yang mampu berkayuh dengan baik namun saya akan cuba," tambah pelumba berusia 44 tahun itu.

Bagi kategori jersi kuning, dia kini mengumpul 10.34:06s pada kedudukan ke-17 keseluruhan.

250 dibaca
Berita Harian X