;
Khamis, 5 Oktober 2017 | 11:26pm
PELUMBA Terengganu Cycling Team, Nur Amirull Fakharuddin Mazuki (tengah) menjuarai tempat pertama, pelumba KFC Cycling Team, Abdul Gani (kiri) tempat kedua dan pelumba Oliver's Real Food Racing, Ryan Thomas tempat ketiga pada perlumbaan peringkat pertama Jelajah Malaysia 2017 dari Shah Alam ke Hutan Melintang. - Foto Muhaizan Yahya

JM2017: Amirull berpeluang cerah rangkul gelaran Raja Bukit

Oleh Azlan Muhammad Zain dan Fadhli Ishak

sukan@hmetro.com.my

KULIM: Nur Amirull Fakharuddin Mazuki berpeluang cerah meraih gelaran Raja Pecut apabila berjaya mengekalkan jersi hijau petang tadi ketika perlumbaan Jelajah Malaysia 2017 (JM2017) berbaki dua peringkat lagi.

Pelumba Terengganu Cycling Team (TSG) itu menamatkan saingan peringkat ketiga dari Kuala Kangsar ke Kulim pada kedudukan keempat, selain mengutip lapan mata di zon pecutan untuk mengumpul 41 mata secara keseluruhan.

Ia membuka peluang kepadanya untuk meraih jersi Raja Pecut selepas memenangi gelaran Raja Bukit pada JM2015 dan Tour of Sharjah 2015.

"Ia masih tidak boleh dijangka kerana masih ada enam zon pecutan dalam baki dua peringkat selain peringkat kelima yang menawarkan mata pecutan.

"Bagaimanapun saya perlu berwaspada bagi mengelakkan pencabar lain mengutip mata dan merapatkan kedudukan," katanya yang memenangi peringkat pertama, pada Selasa lalu.

Pencabar terdekat Amirull dalam perebutan gelaran Raja Pecut adalah Brendon Davids dari Oliver's Real Food Racing yang mengumpul 25 mata, manakala pelumba Team Sapura Cycling (TSC) Aiman Cahyadi di tempat ketiga dengan 24 mata.

Sementara itu, Muhammad Zawawi Azman dari TSC mengekalkan jersi merah selaku pendahulu kategori pelumba terbaik Malaysia dengan masa 10 jam 32 minit 40 saat.

ends

223 dibaca
Berita Harian X