Sabtu, 21 Oktober 2017 | 8:54pm
PELUMBA pasukan TSC, Muhammad Zawawi Azman (tengah) memenangi jersi kuning dan merah manakala jersi biru dimenangi Mohd Elmi Jumari (kanan) dan jersi putih milik Muhd Nur Aiman Mohd Zariff, hari ini. - Foto Aswadi Alias

Awie rangkul dua jersi, tebus duka KL2017

SHAH ALAM: Pelumba Team Sapura Cycling (TSC), Muhammad Zawawi Azman melupakan kekecewaan temasya Sukan SEA apabila memenangi dua jersi utama serta membantu pasukannya muncul juara kategori berpasukan di Tour de Selangor 2017 yang berakhir sebentar tadi.

Pelumba yang lebih mesra dengan panggilan 'Awie' itu mengesahkan kejayaan bagi jersi kuning sebagai juara kategori individu apabila mengumpul 13 jam 5 minit 12 saat selepas menamatkan peringkat kelima pada kedudukan ke-10.

Malah pelumba terbaik tempatan di Jelajah Malaysia 2017 (JM2017) itu turut memenangi jersi Raja Bukit apabila mengumpul 12 mata secara keseluruhan.

"Kemenangan di Tour de Selangor dan JM2017, dua minggu lalu sangat bermakna selepas kecewa di Sukan SEA, Ogos lalu. Selama beberapa minggu saya tidak dapat tidur lena apabila gagal menyumbang pingat kepada negara dalam acara omnium.

"Kegagalan itu amat menyentap semangat saya. Saya dapat lihat wajah dan perasaan kecewa ahli keluarga yang hadir di Velodrom Nasional Malaysia ketika itu. Saya amat kecewa," jelasnya.

Zawawi menamatkan saingan acara omnium di tempat ketujuh ketika barisan pelumba trek negara yang diketuai Azizulhasni Awang mempamerkan dominasi di velodrom ketika itu.

Jelasnya, selepas dua hari berakhir Sukan SEA, pengurusnya, Sayuti Zahit memanggilnya kembali berlatih bersama TSC dan terbang ke Indonesia.

"Beliau tahu saya kecewa dan memberikan motivasi serta suntikan semangat berterusan. Saya dihantar ke Indonesia selama sebulan untuk menyertai dua kejohanan di sana sebelum kembali ke Malaysia.

"Jadi kemenangan dalam dua perlumbaan di tempat sendiri amat bermakna dan melonjakkan motivasi kepada saya untuk terus cemerlang. Ia menebus kekecewaan di Sukan SEA itu," tambahnya.

Kejayaan Zawawi turut membantu TSC muncul pasukan terbaik keseluruhan dengan masa 39 jam 21 minit 15 saat, gelaran kedua berturut-turut diraih selepas JM2017.

251 dibaca
Berita Harian X