Selasa, 31 Oktober 2017 | 10:54pm
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin bergambar bersama skuad akuatik yang menerima skim terbanyak Majlis Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) untuk KL2017 Dan Sukan Para ASEAN KL di Arena Axiata Bukit Jalil, sebentar tadi. - Luqman Hakim Zubir

Atlet KL2017, Para2017 terima durian runtuh

KUALA LUMPUR: Atlet negara yang cemerlang di temasya Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017) dan Sukan Para ASEAN (Para2017) menerima habuan bernilai lebih RM5.5 juta pada Majlis Penyampaian Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM), sebentar tadi.

Majlis yang berlangsung di Arena Axiata, Bukit Jalil itu diadakan khas bagi meraikan kejayaan meraih 145 emas, 92 perak dan 86 gangsa di KL2017 serta 90 emas, 85 perak dan 84 gangsa di temasya Para2017.

Bukan hanya pemenang pingat emas, malah atlet yang meraih perak serta gangsa juga diraikan melalui pemberian insentif khas.

Atlet para wanita negara, Nur Azlia Syafinaz Mohd Zais muncul penerima insentif terbesar dengan habuan RM53,000 .

Nur Azlia meraih lima emas dalam acara 1km ujian masa; pecut; individu; 3,000 kejar-mengejar dan lebuh raya serta satu perak dalam acara ujian masa.

Ia diikuti dengan Mohd Najib Turano yang menjadi penerima kedua tertinggi dengan ganjaran RM50,000 selepas meraih empat emas dalam acara berbasikal para.

Sementara atlet renang, Welson Sim dan ratu gimrama, Koi Sei Yan dipilih sebagai atlet lelaki serta atlet wanita terbaik KL2017.

Welson menerima RM33,000 selepas meraih dua pingat emas, satu perak dan satu gangsa serta mencipta dua rekod kejohanan dalam acara 200 dan 400 meter gaya bebas.

Manakala Sei Yan cemerlang meraih empat pingat emas - dua acara aparatus gelung dan belantan, selain emas berpasukan dan emas individu keseluruhan, untuk menerima insentif tertinggi berjumlah RM49,500.

Pada majlis itu, S Thavanesvaran dinobatkan selaku atlet lelaki terbaik para selepas menghadiahkan tiga pingat emas dan satu perak, manakala Nur Azlia dipilih sebagai para wanita terbaik.

Atlet dari Segamat, Johor itu yang beraksi dalam acara 100 meter, 200 meter dan 400 meter kategori T44 menerima ganjaran RM40,750.

Insentif kendalian Majlis Sukan Negara (MSN) itu menawarkan ganjaran RM20,000 kepada emas pertama bagi setiap atlet bagi acara individu dan RM10,000 untuk emas seterusnya.

Ganjaran RM20,000 juga diberikan bagi saingan berpasukan yang kurang daripada lima atlet dan RM5,000 seorang bagi pasukan yang melebihi lima atlet.

Malah, tambahan RM1,000 turut diberikan pemecah rekod kejohanan dengan atlet negara melakarkan 18 rekod Sukan SEA menerusi memanah (lima), olahraga (empat), menembak (enam) dan renang (tiga).

Insentif kemenangan disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan diiringi Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

289 dibaca
Berita Harian X