Selasa, 14 November 2017 | 12:00am
KEHADIRAN kapten negara, Siti Noor Amarina Ruhani (kanan) bakal memperkuatkan skuad hoki Pahang dalam misi mempertahankan trofi Piala Razak. - Foto Aizuddin Saad

Pahang buru hadiah perpisahan terbaik

KUALA LUMPUR: Skuad hoki wanita Pahang yang diperkuatkan kehadiran kapten negara, Siti Noor Amarina Ruhani 'terdesak' mempertahankan trofi Piala Razak sebagai hadiah perpisahan terbaik buat jurulatihnya, Mohd Ashraf Benedict Abdullah.

Pengendali berusia 60 tahun itu sudah 22 tahun berbakti buat Pahang termasuk mengemudi mereka menjuarai edisi sulung wanita Piala Razak tahun lalu dengan menumpaskan ATM 4-0 di pentas final, namun akan bersara selepas ini.

"Misi kami adalah untuk mengekalkan kejuaraan Piala Razak kerana ia menjadi tahun terakhir jurulatih (Benedict) membimbing Pahang sebelum dia bersara," kata tonggak tengah Pahang, Wan Norfaiezah Saiuti ketika dihubungi hari ini.

"Malah, ia bukan sesuatu yang mustahil sebab kami sudah buktikan sebagai pasukan bukan pilihan pun kami tetap menjuarai edisi sulung wanita Piala Razak pada tahun lalu.

"Tetapi kali ini ternyata Pahang mempunyai barisan lebih mantap selepas diperkuatkan tujuh pemain negara, sampai ada ketikanya saya sendiri pun rasa tergugat apabila melihat senarai pemain."


PEMAIN hoki Pahang, Wan Norfaiezah Saiuti. - Foto Yazit Razali

Wan Norfaiezah menjadi seorang daripada lima pemain Malaysian Tigress mewakili Pahang kali ini - Nuraini Rashid, Amarina, Rabiatul Adawiyah Mohamed dan S Priyangga - dengan dua lagi adalah pemain skuad dalam dewan Sukan SEA 2017.

Amarina yang dianggap pertahanan hoki wanita terbaik negara memilih mewakili skuad kendalian Benedict selepas pasukan negeri kelahirannya Pulau Pinang tidak mengambil bahagian kali ini.

Selain tujuh pemain terbabit, Pahang akan membuka kempen Kumpulan A berdepan Terengganu, Sabtu ini turut mendapat sentuhan bekas jeneral tengah negara, Nadia Abd Rahman dengan selebihnya terdiri daripada pemain muda yang dipersiapkan untuk SUKMA 2018.

Bagi saingan wanita Piala Razak kali ini, menyaksikan Perak, Kuala Lumpur dan Indonesia melengkapkan senarai Kumpulan A dengan Kumpulan B terdiri daripada Johor, Melaka, Selangor dan ATM.

541 dibaca
Berita Harian X