Selasa, 14 November 2017 | 12:35am
SUKAN memanah para digugurkan dalam senarai Program Podium. - Foto Osman Adnan

MPM akur pengurangan atlet para di Program Podium

Kuala Lumpur: Biarpun bilangan atlet para yang disenaraikan ke Program Podium semakin berkurangan, Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) tetap akur dengan keputusan itu dan berhasrat untuk berusaha lebih keras bagi membuktikan pencapaian mereka.

"Kita akur dengan keputusan Program Podium tetapi perkara ini tidak mengejutkan kerana mungkin atlet yang digugurkan belum lagi bersedia daripada segi pengalaman dan kemahiran (untuk menghasilkan keputusan yang baik).

"Buat masa ini, persediaan atlet sedang dijalankan seperti biasa di bawah program Majlis Sukan Negara (MSN)," kata Setiausaha Agung MPM, Siti Zaharah Abdul Khalid kepada Sukan NSTP di sini, hari ini.

Dalam senarai Program Podium yang dikeluarkan Jumaat lalu, hanya 19 atlet para daripada empat jenis sukan yang disenaraikan susulan pengguguran tujuh atlet dengan hanya dua atlet baru dimasukkan.

Sukan para yang digugurkan adalah renang dan memanah.

Siti Zaharah berkata, MPM berbesar hati dengan kepercayaan menyenaraikan atlet para ke dalam Program Podium buat tahun ketiga.


Sukan renang para digugurkan dalam senarai Program Podium. - Foto Osman Adnan

"MPM merasakan bahawa Program Podium membawa banyak manfaat kepada prestasi atlet sukan para... Mungkin Program Podium yang baru menapak dalam program prestasi tinggi sukan OKU (orang kelainan upaya) perlu lebih diperkuat daripada segi pegawai sokongan untuk memastikan misi dan visi Program Podium tercapai," katanya.

Mengenai persediaan ke Sukan Komanwel, Siti Zaharah berkata, MPM berterima kasih kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) kerana meletakkan atlet para di bawah satu kontinjen negara.

"Insya Allah atlet para Malaysia akan sama-sama berjuang bagi menambah pungutan pingat emas negara di temasya yang akan berlangsung di Gold Coast tahun hadapan," katanya.

85 dibaca
Berita Harian X