Selasa, 14 November 2017 | 10:03pm
ATLET wushu negara, Yeap Wai Kin diharap memanfaatkan sepenuhnya Program Podium bagi meningkatkan lagi prestasinya. - Foto Zulfadhli Zulkifli

Program Podium mampu jadikan Wai Kin juara dunia

KUALA LUMPUR: Pemilihan atlet wushu, Yeap Wai Kin dalam Program Podium diyakini mampu membantunya menjadi juara dunia.

Pandangan itu disuarakan jurulatih kebangsaan, Lim Yew Fai yang percaya program kendalian Institut Sukan Negara (ISN) itu sangat baik dan berharap Wai Kin memanfaatkan sepenuhnya bagi meningkatkan lagi prestasinya.


YEAP Wai Kin beraksi cemerlang pada Sukan SEA KL2017. - Foto Zulfadhli Zulkifli

"Sesiapa yang mempunyai keputusan bagus, kita cadang mereka dimasukkan ke dalam Program Podium.

"Macam Wai Kin kita cadang namanya kerana dia berpotensi selepas meraih pingat gangsa acara jianshu dan qiangshu Kejohanan Dunia 2017 di Kazan, Russia September lalu.

Kita yakin selepas Wai Kin masuk dalam program itu, dia mampu bergelar juara dunia satu hari nanti," kata Yew Fai yang pernah bergelar juara dunia pada 2005 ketika dihubungi.

Baru-baru ini, ISN mengumumkan nama 146 atlet yang terpilih berada di dalam Program Podium dengan tiga daripadanya dari sukan wushu.

Mereka adalah Loh Jack Chang, Vincent Wong dan Wai Kin menjadi atlet terbaharu yang disenaraikan selepas dia turut cemerlang dengan meraih dua emas di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017).

67 dibaca
Berita Harian X