Selasa, 14 November 2017 | 10:13pm
PENGURUS Pertandingan LHM, Brian Fernandez. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

9 pasukan sudah sah berentap LHM 2018

KUALA LUMPUR: Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) akan cuba merealisasikan hasrat mendapat 10 pasukan berentap dalam saingan Liga Premier Hoki Malaysia (LHM) 2018 yang akan berlangsung dari 6 Januari hingga 10 Februari depan.

Bagaimanapun, Pengurus Pertandingan LHM, Brian Fernandez berkata, keputusan muktamad mengenainya akan diputuskan pada mesyuarat jawatankuasa pertandingan MHC yang dipengerusikan George Koshy dalam masa terdekat.

"Setakat ini, sudah sembilan pasukan mengesahkan penyertaan dengan terbaru pasukan SSTMI Thunderbolts dan UiTM-KPT.

"Apapun, ia bergantung keputusan mesyuarat nanti. Katakan pengerusi pertandingan putuskan sembilan pasukan, maka hanya sembilan sajalah. Tetapi jika putuskan 10 pasukan, kita mungkin akan tarik pasukan daripada Divisyen 1," katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Bagaimanapun, MHC berharap dapat menarik penyertaan 10 pasukan bagi saingan Liga Premier berbanding lapan tahun ini yang menyaksikan Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) muncul juara.

Ini bagi memudahkan membuat jadual pertandingan berbanding hanya sembilan pasukan yang beraksi.

Sebenarnya, MHC sudah mendapat jumlah itu namun keputusan juara Divisyen 1, Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang sepatutnya dinaikkan pangkat ke saingan utama itu memilih menarik diri atas alasan bimbang menjadi pasukan belasahan, menyebabkan hanya tinggal sembilan pasukan.

Sembilan pasukan terbabit adalah Pasukan Hoki Terengganu (THT), Maybank, Tenaga Nasional Berhad (TNB), UniKL, TNB Thunderbolt, KLHC, Nurinsafi, SSTMI Thunderbolt dan UiTM.

268 dibaca
Berita Harian X