Rabu, 15 November 2017 | 12:12am
SKUAD bola jaring negara akan menghadapi kempen Piala Negara-Negara di Singapura bermula 9 Disember depan. - Foto PBJM

Bola jaring dapat jurulatih sementara

KUALA LUMPUR: Persatuan Bola Jaring Malaysia (PBJM) melantik Choo Kon Lee sebagai jurulatih sementara skuad bola jaring negara ketika badan induk itu terus berunding untuk mendapatkan sentuhan jurulatih baharu dari Australia.

Setiausaha Kehormat PBJM, Zainon Md Noh berkata, langkah melantik jurulatih Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) itu dibuat gara-gara pihaknya kesuntukan masa untuk mempersiapkan pasukan menghadapi kempen Piala Negara-Negara di Singapura bermula 9 Disember depan.

"Buat masa ini kami hanya melantik Kon Lee sebagai jurulatih sementara kerana masih dalam perbincangan dengan persatuan bola jaring Australia untuk dapatkan jurulatih dari sana.

"Dan sekiranya menemui jurulatih yang sesuai kami mungkin melaksanakan struktur sama seperti sebelum ini, yang mana jurulatih dari Australia itu hanya perlu datang untuk 10 hari setiap bulan," katanya sebentar tadi.

Ia bukan kali pertama PBJM pernah mencapai perjanjian sebegitu kerana sebelum Stacey Robinson dilantik sepenuh masa pada Februari lalu, beliau pernah berulang alik setiap bulan dari Australia ketika menjadi tulang belakang kejayaan skuad negara menamatkan kemarau 31 tahun untuk menjuarai Kejohanan Bola Jaring Asia 2016.

Bagaimanapun, Stacey, PBJM dan Majlis Sukan Negara mencapai kata putus untuk tidak meneruskan kontraknya yang berakhir pada 31 Oktober lalu biarpun berjaya memenangi emas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Turut sama meninggalkan skuad kebangsaan adalah penolong jurulatih, Aminah Asaari dengan alasan untuk berehat dan memberi perhatian membangunkan kembali program pembangunan bola jaring di Johor.


PASUKAN bola jaring negara berjaya memenangi emas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 lalu. - Foto Syarafiq Abd Samad

Mengulas mengenai kempen Piala Negara-Negara, Zainon percaya kedudukan selaku naib juara adalah sasaran terbaik buat skuad bola jaring negara ekoran semua enam pasukan yang bertanding berada dalam kelompok ranking sama.

Daripada keenam-enam negara itu, tuan rumah, Singapura menduduki ranking tertinggi iaitu 19 diikuti Malaysia (20), Ireland (22), Hong Kong (24), Swaziland (30) dan Cook Islands (tiada ranking).

263 dibaca
Berita Harian X