Rabu, 15 November 2017 | 12:31am
PEMAIN hoki negara, Nik Muhammad Aiman (kanan) menaruh harapan namanya tersenarai dalam kalangan 24 pemain untuk Program Podium. - Foto Aziah Azmee

Nik sedia rebut tempat

KUALA LUMPUR: Penyerang muda skuad hoki negara, Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi menaruh harapan namanya tersenarai dalam kalangan 24 pemain untuk Program Podium.

Bagaimanapun, pemain dilabel sebagai bintang sedang meningkat naik itu berkata, segala-galanya terpulang kepada keputusan ketua jurulatih Stephen Van Huizen untuk menyenaraikan namanya atau sebaliknya.

"Jika ada rezeki, memang saya hendak berada dalam senarai itu tapi hanya jurulatih berhak memilih pemain.

"Apa yang boleh saya lakukan adalah meletakkan kepercayaan kepada jurulatih berdasarkan kepada prestasi saya bersama skuad kebangsaan selama ini," katanya.

Sejak membuat penampilan pertama bersama skuad senior bermula dengan Piala Sultan Azlan Shah tahun lalu, pemain berusia 21 tahun itu hanya tidak disenaraikan ketika skuad negara beraksi pada saingan Piala Asia di Dhaka, Bangladesh, bulan lalu.

Prestasinya paling menyerlah ketika membantu Malaysian Tigers muncul juara Pusingan Kedua Liga Hoki Dunia di Dhaka awal tahun ini sehingga mendapat pujian Van Huizen.


PRESTASI Nik Muhammad Aiman paling menyerlah ketika membantu Malaysian Tigers muncul juara Pusingan Kedua Liga Hoki Dunia di Dhaka awal tahun ini. - Foto Aziah Azmee

"Banyak pengalaman yang saya raih selama ini bersama dengan skuad negara terutama dengan bantuan daripada pemain pemain senior serta jurulatih.

"Harap sangat untuk terpilih ke Program Podium kerana ia memberi peluang kepada saya untuk beraksi dalam tiga kejohanan besar tahun depan iaitu Sukan Komanwel, Asia serta Piala Dunia," katanya.

Van Huizen menerusi laporan semalam berkata, beliau akan menyenarai pendek 24 pemain untuk dimasukkan ke dalam Program Podium dengan keutamaan diberikan kepada pemain yang sudah berada dalam pasukan sejak dua tahun lalu.

200 dibaca
Berita Harian X