Rabu, 15 November 2017 | 12:51am
PEREJAM regu negara, Mohd Hanifah Dolah membuat libasan ketika bertemu Indonesia dalam acara sepak takraw berpasukan lelaki di Sukan SEA KL2017, Ogos lalu. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Had satu negara bagi satu kategori - Presiden ASTAF

Kuala Lumpur: "Pilih acara yang anda rasa mampu menang." Itu saranan Presiden Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF), Datuk Abdul Halim Kader berhubung peraturan mengehadkan hanya satu acara bagi setiap kategori yang boleh disertai pada Sukan Asia Indonesia 2018.

Indonesia tidak mempertandingkan acara tradisi iaitu antara regu sebaliknya tuan rumah menyenaraikan acara berpasukan, beregu berpasukan dan quadrant (empat sebelah) bagi kategori lelaki dan wanita.

"Adalah menjadi hak tuan rumah dalam menentukan acara yang dipertandingkan. Malah, ASTAF berterima kasih kepada pihak penganjur yang mempertandingkan enam acara kerana pada awalnya terdapat kemungkinan ia digugurkan pada sukan peringkat benua itu," jelasnya.

Tambah Abdul Halim, tiada sebarang perubahan acara lagi selepas ini dengan saingan akan berlangsung di Palembang pada Ogos nanti.


PRESIDEN ASTAF, Datuk Abdul Halim Kader (kiri). - Foto Mohd Yusni Ariffin

"Saya fikir tuan rumah menyenaraikan acara yang menjadi kekuatan mereka," jelasnya merujuk kepada acara berpasukan lelaki yang menyaksikan Indonesia muncul pemenang perak di Sukan SEA Kuala Lumpur lalu.

Situasi berkenaan sekali gus memberikan cabaran kepada skuad sepak takraw negara yang dilihat hanya mempunyai satu regu mantap diketuai tekong, Mohd Syahir Rosdi dan kini perlu membentuk sekurang-kurangnya satu lagi yang mampu mencabar untuk meraih pingat sekiranya mahu beraksi dalam acara berpasukan.

Pada Sukan SEA 2017, Malaysia berkongsi gangsa dalam acara beregu berpasukan dan quadrant.


PEREJAM regu negara, Mohd Hanifah Dolah membuat libasan ketika bertemu Indonesia dalam acara sepak takraw berpasukan lelaki di Sukan SEA KL2017, Ogos lalu. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Pada peringkat Sukan Asia, bukan saja Thailand, malah tuan rumah dan Korea Selatan turut perlu diberikan perhatian sekiranya Malaysia mahu meraih pingat.

Malah, penyenaraian mereka dalam Program Podium adalah dengan matlamat untuk memenangi pingat bagi Sukan Asia 2018.

Pada edisi 2014, tiga acara dipertandingkan dengan Thailand memenangi acara antara regu dan berpasukan manakala Myanmar meraih emas acara beregu lelaki.

290 dibaca
Berita Harian X