Rabu, 15 November 2017 | 1:05am
RATU terjun negara, Pandelela Rinong boleh bergandingan dengan mana-mana penerjun pada Sukan Komanwel dan Asia tahun depan. - Foto Hasriyasyah Sabudin
PANDELELA Rinong bersama Gabriel Gilbert Daim meraih pingat emas di Sukan SEA KL2017. - Foto Aizuddin Saad

Pandelela tak cerewet pilih pasangan

KUALA LUMPUR: Pandelela Rinong pernah bergandingan dengan beberapa penerjun muda dan senior, namun ratu terjun negara itu tidak cerewet dalam memilih pasangannya dalam memburu kegemilangan di Sukan Komanwel dan Asia tahun depan.

"Saya boleh bergandingan dengan mana-mana penerjun, namun saya harap dia dapat memberi persembahan konsisten. Selain itu, pasangan saya mesti memberi kerjasama baik," katanya.

Bagaimanapun, penerjun berumur 24 tahun itu menyerahkan kepada jurulatih untuk membuat keputusan mengenai siapa gandingan terbaik untuknya terutama dalam tiga kejohanan utama tahun depan - Sukan Komanwel Gold Coast pada April, Sukan Asia Indonesia (Ogos) dan Piala Dunia Terjun (tarikh dan tempat belum diputuskan).


PANDELELA Rinong (kiri) bersama Cheong Jun Hoong pada acara 10m platform serentak wanita di Olimpik Rio 2016. - Foto Rosli Rahmat

Selain sering digandingkan dengan penerjun senior seperti Leong Mun Yee dan Cheong Jun Hoong, Pandelela juga pernah bergandingan dengan penerjun muda seperti Gabriel Gilbert Daim yang turut menyaksikan keputusan membanggakan dihasilkan.

Penerjun dari Sarawak itu juga mengakui penerjun remaja kini semakin meningkat naik dan dia yakin mereka boleh menggantikan penerjun senior jika mereka berusaha keras lagi.

Mengenai kecederaan bahu dan belakang yang sering menghantuinya, Pandelela berkata, dia kini boleh dikatakan bebas daripada sebarang kecederaan namun perlu mengekalkan kecergasan untuk memastikan kecederaan itu tidak berulang.

756 dibaca
Berita Harian X