Rabu, 15 November 2017 | 1:19am
PELUMBA basikal negara, Azizulhasni Awang (kiri) dan Shah Firdaus Sahrom kekal dalam kelompok 10 terbaik ranking UCI. - Foto Hazreen Mohamad

Azizulhasni, Shah Firdaus kekal 10 terbaik dunia

KUALA LUMPUR: Jaguh keirin negara, Azizulhasni Awang dan Shah Firdaus Sahrom kekal dalam kelompok 10 terbaik ranking Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) walaupun kurang menyerlah pada dua siri Piala Dunia yang berlangsung di Poland dan Manchester, minggu lalu.

Kejayaan meraih kedudukan ke-10 dalam acara keirin di Manchester membolehkan The Pocketrocketman meraih 225 mata selain satu mata di Poland untuk mengumpul 1,941 mata secara keseluruhan bagi berada di kedudukan ketujuh dunia, naik satu anak tangga sebelum menyertai dua perlumbaan itu.

Dalam acara pecut individu pula, Azizulhasni yang tidak melepasi saingan kelayakan jatuh tiga anak tangga kepada nombor 22 dengan 1,141 mata.

Shah Firdaus yang terkandas awal dalam acara keirin pada dua kejohanan di Eropah itu turut berada dalam kelompok 10 terbaik dunia walaupun jatuh satu anak tangga, berada pada kedudukan kelima dunia dengan 2,035 mata manakala pecut individu pada kedudukan ke-30 dunia.

Fatehah Mustapa yang terlepas meraih mata apabila penyertaan di Manchester dibatalkan dalam acara keirin berada pada kedudukan ke-23 dunia, jatuh satu anak tangga selain berada pada kedudukan ke-85 dalam acara pecut individu.

Penampilan pertama Farina Shawati Mohd Adnan dalam dua siri Piala Dunia tetapi terkandas pada peringkat awal dalam keirin dan pecut individu menyaksikan dia hanya naik satu anak tangga iaitu tempat ke-46 dalam keirin dan 53 bagi pecut individu.


PELUMBA basikal negara, Azizulhasni Awang (kiri) dan Shah Firdaus Sahrom kekal dalam kelompok 10 terbaik ranking UCI. - Foto Iqmal Haqim Rosman

Peningkatan sebanyak 13 anak tangga dipamerkan Mohd Fadhil Zonis dalam acara satu kilometer ujian masa untuk berada pada kedudukan ke-56 dunia dengan 410 mata.

"Sememangnya pelumba trek negara sentiasa mempunyai sasaran apabila menyertai perlumbaan, namun mungkin tiada tuah terutamanya dalam acara keirin," kata pengurus sukan berbasikal bagi Program Podium, Mohd Izham Mohamad.

Azizulhasni tidak berada pada tahap terbaik apabila terjatuh semasa acara keirin di Poland manakala Fatehah yang mempunyai peluang terbaik menaiki podium di Manchester gagal mengelak pelumba Australia, Stephanie Morton yang jatuh di hadapannya.

944 dibaca
Berita Harian X