Jumaat, 17 November 2017 | 11:34pm
MENTERI Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, berucap pada Malam Apresiasi Kuala Lumpur 2017 di Shangri-La Hotel. - Foto Halim Salleh

Realisasi semangat Bangkit Bersama

KUALA LUMPUR: Kecemerlangan Temasya Sukan SEA dan Para ASEAN Kuala Lumpur (KL2017) yang berlangsung kira-kira dua bulan lalu adalah hasil kerjasama semua pihak yang tidak pernah mengenal erti penat dan menghidupkan semangat Bangkit Bersama yang menjadi nadi temasya sukan berkenaan.

Justeru, sumbangan pelbagai pihak yang merangkumi penaja, persatuan sukan dan sekretariat yang menjayakannya diraikan dalam satu majlis Malam Apresiasi KL2017 di sini, malam tadi.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang turut meraikan majlis berkenaan menzahirkan jutaan terima kasih buat kesemua pihak yang dalam masa sama terus menyemarakkan lagi semangat Bangkit Bersama yang diterapkan ketika temasya berlangsung.

"Sejak menerima bendera daripada tuan rumah penganjuran sebelum ini, kami sudah melakukan yang terbaik daripada sudut perancangan bagi memastikan KL2017 menjadi temasya yang tidak dapat dilupakan," kata Khairy dalam ucapannya.

"Sebenarnya bukan mudah (menjadi penganjur) kerana ini adalah kali pertama kita menjadi tuan rumah di era digital dengan kali terakhir kita menganjurkannya pada 2001.

"Ketika itu kita tidak mempunyai media sosial dan tekanan yang diterima tidaklah sehebat era ini.

"Apapun, semua ini menjadikan kita lebih semangat untuk menjadikan temasya ini yang terbaik mengikut kemampuan kita.

"Kita juga menerima tekanan apabila menjadi tuan rumah selepas Singapura di mana kita perlu menjadi sehebat, setanding mereka biarpun peruntukan kita jauh lebih kecil berbanding negara penganjur sebelum ini.

"Kejayaan sebenar bukanlah daripada sudut stadium yang dibaik pulih, kemudahan, hotel lima bintang untuk kontinjen tetapi bagi saya yang menjayakannya adalah 'faktor manusia' dan ini termasuklah kontinjen kita yang sudah melakukan tugas dengan sebaiknya."

Khairy turut berbangga dengan pencapaian atlet muda dengan berkata: "Kita berjaya mengutip hampir dua kali ganda pingat emas sekiranya dibandingkan dengan negara pesaing terdekat.

"Lebih membanggakan sekali ialah temasya kali ini juga berjaya melahirkan ramai atlet muda, di mana seramai 231 atlet berusia bawah 21 tahun berjaya menyumbang 112 pingat emas, ini seperti yang disasarkan."

Pada temasya KL2017 lalu, Malaysia berjaya muncul selaku juara keseluruhan dengan 144 pingat emas, 91 perak dan 86 gangsa.

Pencapaian itu sekali gus memperbaiki pencapaian kontinjen negara ketika menjadi tuan rumah pada 2001 di ketika itu Malaysia muncul juara keseluruhan dengan 111 emas, 75 perak dan 85 gangsa.

118 dibaca
Berita Harian X