Sabtu, 18 November 2017 | 8:03am
MENTERI Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin ketika berucap pada majlis Malam Apresiasi Kuala Lumpur 2017 di Shangri-La Hotel, semalam. - Foto Halim Salleh

Ujian sebenar Malaysia di Sukan Komanwel, Sukan Asia

KUALA LUMPUR: Dua temasya utama tahun depan - Sukan Komanwel di Gold Coast, Australia dan Sukan Asia di Indonesia dianggap sebagai medan sebenar bagi atlet negara membuktikan kemampuan di pentas yang lebih besar.

Malaysia muncul juara keseluruhan temasya Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017) Ogos lalu dan diingatkan supaya tidak hanya gah menjadi 'jaguh rantau Asia Tenggara'.

"Apabila sudah tutup buku KL2017, kita kena memberi tumpuan untuk tahun depan," kata Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar ketika ditemui media selepas majlis Malam Apresiasi KL2017, malam tadi.

"Cabaran tahun depan lagi besar, Sukan Komanwel pada April dan Sukan Asia pada Ogos. Bagi saya, itu adalah medan ujian yang sebenar.

"Sukan SEA penting, tetapi ia lebih kepada pelapis dan pendedahan buat atlet muda.

"Menjelang Sukan Komanwel dan Asia ini, kita kena melakukan persediaan terbaik.

"Ini kerana kita nak tunjukkan yang Malaysia bukan setakat jaguh serantau, tetapi juga mampu mencapai kejayaan berterusan di peringkat Komanwel dan Asia serta di Tokyo (Sukan Olimpik) nanti, itu ujian sebenar kita," katanya.

269 dibaca
Berita Harian X