Khamis, 7 Disember 2017 | 1:05am
PRESIDEN PSM, Datuk Ahmad Ismail pada Perasmian Sepaktraw League 2015 di Sports Arena. - Foto Owee Ah Chun

Demi emas, PSM rayu majikan lepaskan pemain

KUALA LUMPUR: Biarpun status sukan sepak takraw yang dimasukkan ke dalam Program Podium 2018 terus menjadi pertikaian banyak pihak, namun Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) tetap optimis mampu meraih dua pingat emas pada termasya Sukan Asia Indonesia, tahun depan.

Presiden PSM, Datuk Seri Ahmad Ismail, menegaskan sasaran dua emas adalah realistik berikutan pihak penganjur menetapkan bahawa setiap negara hanya dibenarkan bertanding dalam dua daripada tiga acara sepak takraw yang bakal dipertandingkan di Sukan Asia 2018 iaitu Quadron, beregu berpasukan dan double.

Sebagai permulaan PSM sudah mengenal pasti 30 pemain sepak takraw lelaki dan 18 wanita yang bakal melaporkan diri untuk menyertai kem latihan pusat bagi persiapan menghadapi Sukan Asia 2018 mulai 1 Januari depan.

Justeru, Ahmad meminta jasa baik pihak majikan supaya memberikan pelepasan lebih awal kepada pemain sepak takraw kebangsaan membolehkan mereka menyertai pelbagai program latihan diatur untuk persiapan menjelang Sukan Asia 2018.

"Kalau boleh mulai 1 Januari kami sudah dapat semua 30 pemain yang kami mahukan. Kita harap masalah kelewatan pemain skuad sepak takraw negara melapor diri kerana lambat mendapat pelepasan majikan tidak akan berulang kali ini.

"Kalau boleh saya harap semua 30 pemain sepak takraw lelaki dan 18 wanita dapat melapor diri tepat pada masanya bagi membolehkan mereka menjalani latihan intensif secepat mungkin. Jadi saya minta jasa baik majikan supaya memberi pelepasan lebih awal kepada pemain sepak takraw kebangsaan demi negara," katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Sementara itu, Ahmad berkata PSM juga bekerjasama dengan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) bagi merangka program latihan komprehensif untuk persiapan pemain kebangsaan menjelang Sukan Asia 2018.

Sebagai permulaan, PSM akan menghantar semua 48 pemain sepak takraw negara untuk menjalani latihan selama dua bulan di kem komando bagi meningkatkan tahap disiplin, ketahanan fizikal dan mental mereka.

"Sebelum ini kita bercadang untuk menghantar pemain sepak takraw menjalani latihan ala komando selama tiga bulan tetapi ia terpaksa dipendekkan menjadi dua bulan mulai Januari ini kerana masa tidak mencukupi.

"Kita juga akan mengurangkan latihan di luar negara, namun sebaliknya lebih banyak perlawanan persahabatan antarabangsa akan diatur dengan pasukan dari luar negara.

"Saya juga sudah menyatakan kepada jurulatih bahawa program kita hanya untuk perlawanan persahabatan dan menyertai kejohanan antarabangsa bukannya duduk di sana dua minggu atau tiga minggu kerana faktor kekangan kewangan," katanya.

Bagaimanapun, Ahmad menegaskan PSM juga akan melepaskan pemain sepak takraw kebangsaan untuk mewakili negara dan pasukan masing-masing untuk menyertai Kejohanan Sepak Takraw Piala Emas Khir Johari dan dan Grand Prix Kebangsaan nanti.

332 dibaca
Berita Harian X