Khamis, 7 Disember 2017 | 1:11am
PENGERUSI Institut Sukan Negara, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi berkata pihaknya sedia mengambil alih pengurusan kafeteria atlet daripada Majlis Sukan Negara (MSN) kerana memiliki kepakaran dalam memastikan diet dan pemakanan atlet terjaga. - Foto Asyraf Hamzah

ISN sedia kendali kafeteria MSN

KUALA LUMPUR: Institut Sukan Negara (ISN) sedia mengambil alih pengurusan kafeteria atlet daripada Majlis Sukan Negara (MSN) kerana memiliki kepakaran dalam memastikan diet dan pemakanan atlet terjaga.

Pengerusi ISN, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi bagaimanapun berkata, perkara itu memerlukan perbincangan supaya jalan penyelesaian terbaik dapat dicari.

"Oleh kerana makanan atau diet dirancang untuk atlet di bawah naungan ISN, sepatutnya kafe atlet yang berada di bawah MSN dipindahkan kepada kita (ISN).

"Perkara ini sudah disarankan oleh menteri (Khairy Jamaluddin Abu Bakar), tetapi kita kena duduk bersama MSN untuk lihat cara terbaik memindahkan kafe ini kepada kita.

"Kalau tidak ia tidak selari kerana semua kita yang jaga termasuklah fizikal, biomekanik, fisio, tetapi makanan orang lain jaga," kata Abdul Azim selepas majlis Malam Penghargaan Kontinjen ISN Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) di Dewan Perdana ISN, malam tadi.

ISN adalah agensi di bawah Kementerian Belia dan Sukan yang menjadi peneraju kepada pembangunan kemajuan dan kecemerlangan sains, perubatan dan teknologi sukan negara.

Antara misi ISN ialah memastikan amalan, penyelidikan, inovasi dan pembangunan di dalam perubatan, sains serta teknologi sukan berada di tahap antarabangsa.

201 dibaca
Berita Harian X