Khamis, 7 Disember 2017 | 12:47pm
KEMUNCULAN semula Tiger Woods pada Cabaran Dunia Hero minggu lalu jelas menampakkan tanda positif betapa dia masih boleh mengungguli acara utama sukan golf. - Foto AFP

Woods mampu lebih cemerlang

TORONTO, Kanada: Kemunculan semula Tiger Woods selepas pulih daripada kecederaan minggu lalu jelas menampakkan tanda positif yang secara tidak langsung menyerlahkan keyakinan betapa dia masih boleh mengungguli acara utama sukan golf.

Hayunan Woods tampak lebih kemas dan tidak menunjukkan tanda kesakitan di bahagian belakang pada Cabaran Dunia Hero di Bahamas apabila menamatkan saingan di kedudukan kesembilan.

Mark Calcavecchia juga menyaksikan sendiri perkembangan baik bekas pemain nombor satu dunia itu dan berkata: "Namanya sendiri Tiger Woods.


HAYUNAN Woods tampak lebih kemas dan tidak menunjukkan tanda kesakitan di bahagian belakang pada Cabaran Dunia Hero di Bahamas, minggu lalu. - Foto AFP

"Anda tidak boleh lupakan dia pernah memenangi 14 kejuaraan utama dan 79 kejohanan (Jelajah PGA)," ujar bekas juara Terbuka British itu dalam satu perbualan dalam talian untuk mempromosi kejohanan Jemputan Diamond Resorts.

"Saya lihat hampir keseluruhan aksi minggu lalu dan saya amat kagum dengan banyak perkara. Dia mempunyai kelajuan, dia sama sekali tidak ragu-ragu dan seakan cuba menjaga hayunan seperti mana kita jangkakan yang dia masih mengalami sakit di bahagian belakang."

Susulan daripada pembedahan dan berehat panjang, Woods muncul pada kejohanan di Bahamas dengan berada di ranking ke-1,199.

Calcavecchia berkata, Woods yang ketinggalan empat kejuaraan utama di belakang rekod Jack Nicklaus, mungkin mampu menyertai lebih banyak kejohanan selepas ini.

Pendapat Calcavecchia turut dikongsi bekas juara Terbuka AS, Lee Janzen.

"Tiger Woods mempunyai kepelbagaian yang sama sekali tidak boleh diukur," kata Janzen.

"Dia mempunyai kemampuan untuk melakukan sesuatu dengan penuh dramatik dan melakukan hayunan terbaik pada waktu yang sesuai.

"Putt dilakukannya tampak bagus. Namun sekiranya dia menemui sentuhannya semula, saya mungkin akan terkejut sekiranya dia tidak mampu bersaing dalam kejuaraan utama." - Reuters

248 dibaca
Berita Harian X