Khamis, 7 Disember 2017 | 11:05pm
PEMAIN skuasy negara, Datuk Nicol David bakal berdepan seteru lamanya, Jenny Duncalf dari England apabila Kejohanan Dunia dijadualkan bermula di Manchester, Isnin nanti. - Foto Owee Ah Chun

Laluan berliku menanti Nicol

KUALA LUMPUR: Nicol David akan berdepan seteru lamanya, Jenny Duncalf dari England apabila Kejohanan Dunia dijadualkan bermula di Manchester, Isnin nanti.

Impiannya untuk memenangi Kejohanan Dunia buat kali kesembilan bukanlah mudah apatah lagi naib juara dua kali, Raneem El Weleily dan juara edisi 2013, Laura Massaro pasti menjadi penghalang.

Sejak menjulang gelaran dunia buat kali kelapan dengan mengalahkan pemain Mesir, Raneem pada 2014, Nicol gagal melepasi suku akhir sepanjang dua edisi lalu.

Menduduki ranking keenam dunia, Nicol tersingkir di suku akhir Terbuka Hong Kong, November lalu apabila ditewaskan pemain Perancis, Camille Serme.

Nicol, 34, kembali menghangatkan 'permusuhannya' dengan Jenny - bekas pemain nombor 2 dunia - dan pertemuan Isnin ini bakal menjadi pertembungan ke-42 antara mereka.

Nicol yang juga bekas pemain nombor satu dunia, memegang rekod pertemuan 39-2 berbanding Jenny dan kali terkahir kedua-duanya bertarung ialah ketika Kejohanan Juara-Juara di New York, Januari lalu.

Menunggu pemenang perlawanan itu ialah pemain Hong Kong, Annie Au yang mengejutkan Nicol di Terbuka AS tetapi kekalahan itu berjaya ditebus di Terbuka Hong Kong.

Raneem yang tewas di final Kejohanan Dunia 2016 di tangan rakan senegara, Nour El Sherbini, dijangka bertemu Nicol di suku akhir.

Laura yang diletakkan selaku pemain pilihan, akan menanti sama ada Raneem atau Nicol di separuh akhir.

Nicol muncul satu-satunya wakil Malaysia dalam kategori wanita di kejohanan itu kerana Low Wee Wern masih belum sembuh daripada kecederaan lutut manakala juara Terbuka Malaysia, S Sivasangari memilih untuk beraksi di Terbuka Pakistan pada 17 hingga 23 Disember.

112 dibaca
Berita Harian X