Selasa, 9 Januari 2018 | 11:07pm
PASUKAN Alive dari Australia terpaksa menarik diri di saat akhir saingan kelas Racing Regatta Antarabangsa Diraja Langkawi (RLIR) 2018 sebentar tadi akibat masalah teknikal. - Foto Luqman Hakim Zubir

Bot Alive terpaksa tarik diri

LANGKAWI: Pasukan dari Australia, Alive terpaksa menarik diri di saat akhir saingan kelas Racing Regatta Antarabangsa Diraja Langkawi (RLIR) 2018 sebentar tadi akibat masalah teknikal.

Juara tahun 2016 itu mengalami masalah teknikal pada perlumbaan sebelah petang selepas sesi pagi ditunda susulan ketiadaan angin di Pelabuhan Kuah.

Masalah pada bahagian bot dialami pasukan jelas mengecewakan jurumudinya Duncan Hine apatah lagi mereka mempunyai misi memburu gelaran kedua di sini.

"Hari ini kami tidak melakukannya dengan baik dan terpaksa menarik diri," kata Hine.

"Amat menyedihkan. Kami datang dari jauh dan kami mahu melakukan yang terbaik di sini.

"Langkawi sebuah lokasi yang cantik dan amat istimewa buat kami."


KREW pasukan Alive nyata kecewa selepas tidak berjaya menamatkan perlumbaan dalam acara kelas Racing Regatta Antarabangsa Diraja Langkawi (RLIR) 2018 di Royal Yacht Club, Langkawi. - Foto Luqman Hakim Zubir

Ditanya sama ada masalah teknikal itu bakal mengganggu mereka untuk perlumbaan seterusnya, Hine berkata, mereka akan berlumba namun ia bergantung kepada tiupan angin.

"Kami akan tetap menikmati regatta di sini dan terus berlumba tetapi sukar untuk meraih kemenangan.

"Sekiranya tiupan angin memadai, kami masih berpeluang tetapi sekiranya angin perlahan, kami tidak akan kompetitif," katanya.

Juara bertahan dari Thailand, THA72 yang dikendali Tom dan Kevin Whitcraft terus membuktikan kemampuan mereka apabila memenangi perlumbaan kelas utama itu, hari ini.

Keputusan

Kelas Racing

Bot Jurumudi Masa Kedudukan Mata

THA72 Tom&Kevin Whitcraf t(THA) 1:21:31s 1 1

Uranus Salleh Ahmad (MAS) 1:28:35s 2 2

Zuhal Hairolnizam Hat (MAS) 1:36.06s 3 3

Alive Duncan Hine (AUS) RET 4 -

381 dibaca
Berita Harian X