Sabtu, 13 Januari 2018 | 12:50am
PASUKAN golf Asia meraikan kemenangan ketika bertemu pasukan Eropah. Mata kemenangan terakhir yang di sumbangkan dari pemain Li Haotong (dua kiri) pada Kejohanan Piala Eurasia 2018 di Glenmarie Golf and Cuntry Club. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Piala EurAsia: Pasukan Asia dahului Eropah

Shah Alam: Kapten pasukan Asia, Arjun Atwal nyata kagum dengan persembahan pemain golf dari China, Li Haotong selepas membantu pasukan Asia memenangi saingan fourball dengan keputusan 3 1/2 - 2 1/2 ke atas pasukan Eropah di Glenmarie Golf and Country Club, hari ini.

Pemain berusia 22 tahun itu yang bergandingan dengan pemain golf tempatan, Nicholas Fung memberikan kelebihan kepada pasukan Asia apabila mengatasi pasangan Bernd Wiesberger-Rafael Cabrera selepas dia membenam birdie di lubang ke-18 yang menjadi pukulan yang tidak dapat dilupakan oleh Arjun.

"Persembahan yang menakjubkan. Pada lubang ke-18, saya menjangkakan aksi akan menjadi lebih sukar tetapi selepas menyaksikan birdie dilakukan, itu adalah salah satu perkara paling kritikal pernah saya saksikan sepanjang hidup saya," kata Arjun.

Juara lapan kali Jelajah Asia itu turut mengakui pertembungan antara Poom Saksansin dan Kang Sunghoon menentang pasukan Eropah sedikit sebanyak membantu pasukan Asia beroleh motivasi awal.

Gandingan terbabit beraksi cemerlang apabila Kang banyak membenam birdie untuk membolehkan mereka terus menghambat juara empat kali Piala Ryder, Henrik Stenson yang bergandingan bersama Alex Levy.

Pasukan Asia terus membuktikan betapa mereka tidak boleh dipandang rendah apabila pemain golf tempatan, Gavin Green yang bergandingan dengan Yuta Ikeda berjaya membenam gandingan Belgium-England, Thomas Pieters- Englishmen Matt Fitzpatrick.

"Ia adalah persembahan yang mantap meskipun permulaan yang sedikit goyah buat kami. Namun berjaya melakukan pukulan yang baik memberikan kelegaan kepada saya," kata Gavin yang muncul pemain Malaysia pertama untuk merangkul Order of Merit Jelajah Asia.

Perlawanan ketiga menyaksikan Arjun menurunkan pemain veteran, Hideto Tanihara bergandingan bersama pemain muda, Phachara Khongwatmai yang membuat penampilan pertamanya pada edisi ini dan percaturannya menjadi apabila mereka meraih kemenangan ke atas Alex Noren-Paul Dunne.

Bagaimanapun, kapten pasukan Eropah, Thomas Bjorn menurunkan gandingan terkuat menampilkan juara tiga kali Piala Ryder, Paul Casey dan pemain nombor satu Eropah, Tommy Fleetwood yang berjaya menewaskan gandingan An Byeonghun-Kiradech Aphibarnrat.

Pasukan Eropah terus mengutip mata apabila gandingan Ross Fisher-Tyrrell Hatton turut meraih kemenangan ke atas gandingan Anirban Lahiri-S.S.P Chawrasia.

Memasuki hari kedua saingan terbabit, Arjun enggan memisahkan gandingan yang sudah semakin serasi dan akan terus mengekalkan gandingan yang sama buat pasukan Asia sementara Bjorn dijangka akan melakukan rombakan ke atas semua saingan untuk pertembungan, esok.

190 dibaca
Berita Harian X