Sabtu, 13 Januari 2018 | 12:25pm
PEMAIN AS, Brian Harman mendahului tiga pukulan pada pusingan kedua Terbuka Sony dalam Jelajah PGA AS di Hawaii. - Foto AFP

Harman rampas pendahulu Terbuka Sony

LOS ANGELES: Brian Harman melengkapkan tujuh bawah par 63 dengan eagle pada lubang terakhir awal pagi tadi untuk mendahului tiga pukulan pada pusingan kedua Terbuka Sony dalam Jelajah PGA AS di Hawaii.

Harman, yang merakam empat penamat 10 terbaik dalam empat kejohanan jelajah AS pada musim 2017-18, memulakan aksi lebih awal di Waialea di Honolulu dan membuka aksi dengan dua birdie berturut-turut di lubang ke-10 dan 11.

Enam birdienya termasuk tiga berturut-turut pada lubang kedua, ketiga dan keempat sebelum menolak masuk dari jarak 17 kaki pada lubang kesembilan par-lima bagi eagle yang membantunya mengumpul keseluruhan 13 bawah par 127.

"Saya berjaya melakukan putt dengan baik, tapi saya juga meletakkan diri di posisi untuk melakukan putt itu," kata Harman.

Pendahulu semalaman Chris Kirk dan Zach Johnson berada dalam kelompok berkongsi tangga kedua dengan 10 bawah par 130.

Kirk mengejar pada sebelah petang, memulakan pusingannya dengan eagle di lubang ke-10 dan menamatkannya dengan tiga bawah par 67 yang termasuk bogey pada lubang kesembilan par-lima.

"Pastinya turun dan naik hari ini," kata Kirk.

"Beberapa hayunan yang kurang memberangsangkan menjelang hujung saingan tapi banyak juga hayunan yang bagus."

Ketika itu, juara dua kali Johnson sudah berada di rumah kelab selepas 67 yang termasuk tiga birdie dan satu eagle di lubang kesembilan. - AFP

47 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »