Sabtu, 13 Januari 2018 | 5:01pm
PASUKAN THA72 dari Thailand muncul juara dalam acara kelas Racing pada hari terakihir perlumbaan Regatta Antarabangsa Diraja Langkawi ke 16 di Royal Yacht Club, Kuah. - Foto Luqman Hakim Zubir

THA72 raih gelaran kedua di RLIR

LANGKAWI: THA72 mempertahankan gelaran juara kelas Racing Regatta Antarabangsa Diraja Langkawi (RLIR) sekali gus meletakkan nama mereka dalam kelas tersendiri.

Kali terakhir pasukan yang pernah bergelar juara dua kali berturut-turut dalam kelas utama perlumbaan adalah Oi! di mana ketika itu dikendali Peter Ahern pada tahun 2014 dan 2015.

Jurumudi pasukan, Kevin Whitcraft bersama bapanya, Tom Whitcraft gembira dengan pencapaian membawa pulang Trofi Piala Cabaran Perdana Menteri dan berhasrat untuk melakar kejuaraan hatrik di sini, tahun depan.

"Tahun depan kami mungkin berada di sini lagi," kata Kevin kepada media. "Kami mahu pertahankan gelaran ini tahun depan."

Pasukan dari Thailand itu mendominasi kedua-dua perlumbaan yang berlangsung hari ini di laluan pantai timur Langkawi bagi meletakkan mereka berada di puncak kedudukan keseluruhan dengan enam mata.

Pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Uranus muncul naib juara dengan 12 mata keseluruhan - memperbaiki pencapaian ketiga yang pernah dikecapi pada 2012 dan 2014.

Bekas juara 2016, Alive yang gagal menamatkan Perlumbaan 1 sebelum ini sekadar berpuas hati di tangga ketiga (18 mata) manakala Zuhal dikendali Hairolnizam Hat, keempat dengan 21 mata.

"Sudah tentu kami sangat gembira," kata Kevin. "Kami datang ke sini dengan satu sasaran untuk muncul juara dan kami melakukannya sekali lagi.

"Minggu yang kurang tiupan angin, tetapi kami menemui taktikal serta arah yang betul bagi membantu kami menemui garisan penamat dengan lebih awal."

Untuk rekod, Ray Roberts yang pernah mengemudi bot Evolution Racing, Quantum Racing dan Malaysian Airlines Yo! adalah pemegang rekod terbanyak kejuaraan dengan enam kemenangan, dari tahun 2006 hingga 2011.

49 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »