Selasa, 13 Februari 2018 | 8:59pm
KETUA Pegawai Eksekutif (CEO) Mercedes Benz Malaysia, Dr Claus Weidner (empat dari kiri) bersama (kiri ke kanan) Eilee Fong (Taylor Made), Naib Presiden Operasi The Saujana Hotel and Resort, Peter Hourigan, Carlton Chua (Crestlink), CEO ATG Watch Sdn Bhd, Tham Onn Chuan dan Pengarah Urusan Kinglager Crestlink, Claire Strohkirch bergambar ketika sidang media Trofi Mercedes 2018 di Kota Permai Golf and Country Club Kota Kemuning, Shah Alam. - Foto Nurul Shafina Jemenon

Peluang cerah pemain Malaysia ke Piala Mercedes

KOTA KEMUNING: Mercedes-Benz Malaysia yakin akan ada pemain Malaysia yang layak ke Pusingan Akhir Dunia merebut Piala Mercedes yang dijadualkan berlangsung di Stuttgart, Jerman, Oktober nanti.

Hari ini, Mercedes-Benz Malaysia melancarkan pertandingan Piala Mercedes 2018 peringkat kebangsaan yang akan menyaksikan sembilan pusingan kelayakan bermula di Sabah pada 15 Mac dan bakal berakhir di Kelab Golf dan Country Kota Permai (KPGCC).

KPGCC akan bertindak selaku tuan rumah Pusingan Akhir Peringkat Kebangsaan Piala Mercedes 2018.

Tiga pemenang teratas dalam setiap kategori di pusingan kelayakan akan bermain di Pusingan Akhir Peringkat Kebangsaan manakala dua peserta yang menamatkan saingan di kedudukan teratas bagi setiap kategori handicap (lelaki) dan juara kategori wanita di Pusingan Akhir Peringkat Kebangsaan bakal beraksi di Pusingan Akhir Zon Asia di Sanctuary Cove, Australia pada 5 hingga 8 Ogos.

Pemenang bagi setiap kategori handicap di Pusingan Akhir Zon Asia bakal layak ke Pusingan Akhir Dunia.

Kempen kelayakan Malaysia yang memasuki edisi ke-28 tahun ini, terbuka kepada semua pemilik kenderaan Mercedes-Benz.

Presiden Mercedes-Benz Malaysia, Dr Claus Weidner yakin pemain Malaysia mampu mempamer aksi cemerlang nanti.

"Kami menjangkakan kira-kira 100 pemain di setiap pusingan kelayakan. Sambutan yang kami terima amat menggalakkan," kata Dr Claus ketika merasmikan kejohanan, hari ini.

"Peluang untuk pemain Malaysia layak ke Pusingan Akhir Dunia agak cerah kerana kita memiliki ramai pemain berkualiti.

"Berdasarkan pemerhatian saya sejak beberapa tahun lalu, pemain Malaysia yang beraksi di Pusingan Akhir Zon Asia amat menggalakkan dan justeru, saya yakin pemain mampu melakukannya kali ini."

Wakil negara, Khairudin A Rahman layak ke Pusingan Akhir Dunia tahun lalu dan dia juga membantu Pasukan Asia Tenggara muncul juara.

Bagi mendorong pemain layak ke Pusingan Akhir Dunia, pertandingan di peringkat kebangsaan turut berpeluang memenangi Mercedez-Benz E200 Avantgarde jika berjaya melakukan pukulan selubang (hole-in-one) di dua par 3 terpilih di setiap lapangan.

"Secara teorinya, kami akan memberikan 10 kereta sebagai hadiah pukulan selubang," kata Dr Claus yang juga ketua pegawai eksekutif Mercedes-Benz Malaysia.

____________________________________

PUSINGAN KELAYAKAN KEBANGSAAN:

1. Kelab Golf Sutera Harbour, Sabah  - 15 Mac

2. Kelab Golf Palm Garden, Putrajaya - 28 Mac

3. Kelab Golf Palm Garden, Putrajaya - 29 Mac

4. Kelab Golf Pulau Pinang - 5 April

5. Kelab Golf dan Country Saujana - 11 April

6. Kelab Golf dan Country Saujana - 12 April

7. Kelab Golf dan Country Horizon Hills, Johor - 19 April

8. Kelab Golf dan Country Kota Permai, Selangor - 24 April

9. Kelab Golf dan Country Kota Permai, Selangor - 25 April

Pusingan Akhir Kebangsaan:

Kelab Golf dan Country Kota Permai, Selangor - 8 Mei

160 dibaca
Berita Harian X