Rabu, 14 Februari 2018 | 6:41pm
ATLET Lumba Basikal, Azizulhasni Awang (dua kiri) bersama Naib Canselor UUM, Prof Datuk Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak (dua kanan), Pengarah, Raja Mukhris dan Pensyarah UUM, Mohd Idzwan Yacob (kanan) di sidang media filem Biopik Azizulhasni Awang di Cafe Academia UUM KL. - Foto Zunnur Al Shafiq

Kisah suka duka Azizulhasni dalam filem

 

KUALA LUMPUR: "Pelbagai kisah suka duka dikongsi menerusi filem ini, termasuk bagaimana saya hampir kemalangan yang boleh mengakibatkan saya meninggal dunia semasa remaja apabila pulang menyertai satu kejohanan".

Itu antara perkongsian jaguh trek negara, Azizulhasni Awang menerusi filemnya yang bakal menemui penonton pada pertengahan tahun depan. 

Filem arahan Raja Mukhriz Raja Kamarudin itu membabitkan kos sekitar RM6 juta.

"Banyak lagi kisah sedih dan kesukaran yang saya akan kongsi menerusi filem ini sejak kecil sehingga mampu bergelar juara dunia dalam acara keirin tahun lalu.

"Malah ada suatu ketika bagaimana ibu (Selamiah Yong) terpaksa menjahit bagi membekalkan wang RM50 untuk saya menyertai kejohanan antarabangsa di Kuala Lumpur untuk tempoh lebih seminggu ketika remaja. 

"Bayangkan bagaimana saya berjimat sehingga ada waktu saya hanya makan roti canai," jelasnya selepas pelancaran filem "Biopik Azizulhasni Awang" sebentar tadi.

Jelasnya, filem berkenaan berkemungkinan 90 peratus mengenai kehidupan dan fakta sebenar mengenainya sejak kecil.

"Saya berharap filem ini akan dapat memberi motivasi kepada masyarakat bagaimana kisah seorang anak kampung dari Terengganu mampu bergelar juara dunia.

"Bagaimana dengan fizikal yang kecil mampu mengatasi lawan yang berbadan besar dan bagaimana Malaysia hanya mempunyai satu velodrom mampu melahirkan juara dunia," tambahnya.

Ditanya mengenai sejauh mana penampilannya dalam filem berkenaan, Azizulhasni menjelaskan ia masih awal dan dalam perbincangan kerana pada masa yang sama dia perlu bersedia menghadapi Olimpik Tokyo 2020.

Mengenai pelakon yang mungkin sesuai memegang wataknya, Azizulhasni melihat Shaheizy Sam mampu menggalas cabaran itu kerana dilihat mempunyai karektor sepertinya.

Ia adalah filem kedua membabitkan atlet negara selepas ikon badminton, Datuk Lee Chong Wei, dengan filemnya akan mula menemui penonton pada 9 Mac nanti.

246 dibaca
Berita Harian X