Rabu, 14 Februari 2018 | 6:53pm
PELUMBA trek negara, Muhammad Nur Aiman Rosli optimis layak ke final dan berada di podium pada Kejohanan Lumba Basikal Trek Asia 2018 (ACC) di Velodrom Nasional bermula Jumaat ini. - Foto Fariz Iswadi Ismail

Aiman sasar podium ACC

 

NILAI: Biarpun baharu pertama kali beraksi dalam acara kejar mengejar berpasukan elit lelaki, Muhammad Nur Aiman Rosli tetap optimis mampu layak ke final dan berada di podium pada Kejohanan Lumba Basikal Trek Asia 2018 (ACC) di Velodrom Nasional bermula Jumaat ini.

Justeru, Nur Aiman, 19, kini giat berlatih bersama tiga lagi rakan sepasukan, Eiman Firdaus Mohd Zamri, Muhammad Afiq Huznie Othman dan Irwandie Lakasek (pemenang pingat emas acara scratch Sukan SEA 2017) bagi memastikan mereka benar-benar bersedia menghadapi ACC 2018 nanti.

Nur Aiman turut menimba pengalaman dan berlatih selama kira-kira dua bulan di Sydney bersama pasukan St George Willier iaitu sebuah pasukan profesional benua di Australia hasil usaha sama Junior Cycling Malaysia (JCM) dan Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ). 

"Walaupun ini adalah pertama kali beraksi dalam acara kejar mengejar berpasukan lelaki elit, saya tetap yakin berkat usaha dan kerjasama baik, kami bukan hanya mampu memberi saingan kepada pasukan lain, malah mencapai impian mara ke final pada Sabtu nanti.

"Saya juga amat teruja dan gembira kerana dapat mewakili negara dalam dua acara iaitu kejar mengejar berpasukan elit dan omnium individu, selain berlumba di hadapan penyokong sendiri," katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Nur Aiman berkata dia mempunyai misi peribadi untuk memperbaiki pencapaian menang gangsa dalam acara omnium di ACC New Delhi, India tahun lalu. 

"Kemenangan di ACC 2018 penting bagi membolehkan kami mengumpul sebanyak mungkin mata untuk layak ke Sukan Asia 2018 dan Sukan Olimpik 2020 nanti," katanya. 

232 dibaca
Berita Harian X