Selasa, 6 March 2018 | 8:11pm
JUARA dunia keirin, Azizulhasni Awang (kiri) dan ratu terjun negara, Cheong Jun Hoong berada dalam senarai calon akhir bagi Olahragawan dan Olahragawati Anugerah Sukan Negara (ASN) 2017. - Foto NSTP

Azizulhasni, Jun Hoong calon ASN 2017

 

KUALA LUMPUR: Juara dunia keirin, Azizulhasni Awang dan ratu terjun negara, Cheong Jun Hoong berada dalam senarai calon akhir bagi Olahragawan dan Olahragawati Anugerah Sukan Negara (ASN) 2017 yang dijadual berlangsung di Hotel Hilton Kuala Lumpur, 13 Mac ini.

Azizulhasni yang muncul juara dunia tahun lalu diberi tentangan hebat tujuh lagi calon - atlet bina badan, Mohd Syarul Azman Mahen, Muhammad Hakimi Ismail (olahraga), Gavin Kyle Green (golf), Mohd Fitri Saari (hoki), Mohamad Rafiq Ismail (bowling) dan Khairul Hafiz Jantan (olahraga).

Jun Hoong yang meraih pingat emas acara 10m platform di Kejuaraan Dunia di Budapest, Hungary, Julai lalu pula disenarai pendek bersama-sama lima atlet iaitu, S Sivasangari (skuasy), Koi Sie Yan (gimrama), Fatehah Mustapa (berbasikal), Emma Firyani Saroji (boling padang) dan Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman (bowling).

Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan ASN itu membabitkan wakil Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN), persatuan sukan kebangsaan dan Persatuan Penulis-Penulis Sukan (SAM) yang dianggap cukup berpengalaman dalam menilai perkembangan sukan serta atlet negara, baik normal mahupun para.

"Pemilihan bagi 2017 menjurus kepada prestasi atlet di beberapa kejohanan dunia dan dua temasya sukan dianjurkan di negara kita, Sukan SEA dan Sukan Para (KL2017), Ogos lalu," kata Ketua Setiausaha KBS, Datuk Lokman Hakim Ali kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan ASN, hari ini.

Mengulas lanjut, Lokman berkata, mereka mempunyai 83 senarai calon untuk 11 kategori ditawarkan kali ini yang meningkat berbanding edisi sebelum ini.

Sebelas kategori itu adalah Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan, Olahragawan Para dan Olahragawati Para Kebangsaan, Pasukan Lelaki dan Wanita Kebangsaan, Jurulatih Lelaki dan Wanita Kebangsaan, Anugerah Tokoh Sukan, Kepimpinan Sukan dan Anugerah Khas.

"ASN adalah pengiktirafan tertinggi kerajaan bagi mengiktiraf kejayaan cemerlang sepanjang tahun yang dicapai atlet, jurulatih, pegawai dan pertubuhan sukan tanah air.

"Anugerah ini juga sebagai dorongan dan motivasi kepada penggiat sukan negara untuk sentiasa mempertingkatkan mutu dan prestasi mereka dari semasa ke semasa.

"Sebagai anugeran berprestij, ASN bukan saja menjadi kebanggaan kepada pemenang tapi juga seluruh warga sukan negara.

"Populariti atlet dan sukan mampu merangsang kecenderungan rakyat untuk lebih cergas dan cerdas di samping meningkatkan lagi nilai komersial sukan di negara kita," katanya.

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V berkenaan mencemar duli sebagai tetamu kehormat di majlis gilang-gemilang itu nanti.

CALON AKHIR OLAHRAGAWAN KEBANGSAAN

1. Mohd Syarul Azman Mahen Abdullah (Bina Badan)

2. Muhammad Hakimi Ismail (Olahraga)

3. Mohd Azizulhasni Awang (Berbasikal)

4. Gavin Kyle Green (Golf)

5. Mohd Fitri Saari (Hoki)

6. Mohamad Rafiq Ismail (Bowling)

7. Wong Weng Son (Wushu)

8. Khairul Hafiz Jantan (Olahraga)

CALON AKHIR OLAHRAGAWATI KEBANGSAAN

1. S.Sivasangari (Skuasy)

2. Koi Sie Yan (Gimrama)

3. Fatehah Mustapa (Berbasikal)

4. Emma Firyani Saroji (Lawn Bowls)

5. Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman (Tenpin Boling)

6. Cheong Jun Hoong (Terjun)

235 dibaca
Berita Harian X