Selasa, 13 March 2018 | 1:15am
DUA pemain negara, Shazril Irwan Nazli (duduk dua kiri) dan Rashid Baharom (berdiri kanan) pada penampilan pertama bersama pasukan Racing Club de France (RCF) di Liga Hoki Perancis.

Shazril, Rashid mula beri impak

KUALA LUMPUR: Dua pemain negara, Shazril Irwan Nazli dan Rashid Baharom berjaya memberi impak positif pada penampilan pertama di Liga Hoki Perancis apabila kedua-duanya membantu Racing Club de France (RCF) mencatat kemenangan 2-0 ke atas Lille MHC, semalam. 

Shazril dan Rashid diberi peluang beraksi pada perlawanan itu yang menyaksikan RCF selaku juara bertahan terus mengukuhkan kedudukan di tangga teratas dengan mengumpul 33 mata. 

Menurut Shazril, dia serta Rashid tidak berdepan masalah menyesuaikan diri beraksi di liga paling kompetitif itu. 

"Pasukan meletakkan saya di posisi tengah, posisi yang memang sesuai dengan corak permainan saya. 

"Kelab ketika ini sedang berusaha untuk bersaing di pusingan kalah mati. Jadi setiap perlawanan amat penting," katanya ketika dihubungi hari ini. 

Jelas Shazril, tidak banyak bezanya kualiti liga di Perancis dengan Liga Hoki Malaysia (LHM) yang menyaksikannya beraksi bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB). 

"Mungkin kualiti liga di Malaysia lebih baik sedikit. Tapi apabila beraksi dengan rakan sepasukan yang semuanya 'Mat Salleh', kita dapat melihat mentaliti serta kesungguhan mereka sangat tinggi," katanya. 

Selain beraksi bersama RCF, Shazril dan Rashid dijangka bakal membuat penampilan bersama kelab sama untuk saingan Liga Hoki Eropah (EHL). 

Sekiranya ia menjadi kenyataan, kedua-dua pemain negara itu akan menjadi pemain pertama Malaysia beraksi di EHL jika diturunkan dalam aksi pusingan 16 terakhir menentang kelab Jerman, Uhlenhorst Mulheim, 31 Mac ini. 

Selain RCF, saingan EHL pada musim ini turut disertai pasukan handalan Eropah seperti SV Kampong, KHC Dragons (Belanda) dan juara bertahan, Rot-Weiss Koln dari Jerman.

1237 dibaca
Berita Harian X