Selasa, 13 March 2018 | 2:18pm
DHARMA (kanan) mengendali latihan skuad hoki wanita di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil. FOTO/FAIL

Persiapan terakhir Malaysian Tigress

KUALA LUMPUR: Skuad hoki wanita negara kini berlatih bersama skuad Bawah-21 Jepun sebagai persediaan ke Sukan Komanwel Gold Coast dari 5 hingga 14 April ini.

Anak buah Dhaarma Raj Abdullah beraksi dalam dua perlawanan persahabatan setakat ini, tewas aksi pertama 1-3 sebelum menang 3-1 pada perlawanan kedua.

Mereka akan beraksi dalam dua lagi perlawanan pada Khamis dan Jumaat di Stadium Hoki Bukit Jalil.

Malaysia diundi dalam Kumpulan A di Gold Coast bersama-sama England, India, Afrika Selatan dan Wales manakala Kumpulan B terdiri daripada Australia, New Zealand, Scotland, Kanada dan Ghana.

"Kami tewas pada perlawanan persahabatan pertama kerana pasukan kembali bersama selepas beraksi di Liga Hoki Malaysia dan ramai yang berdepan masalah menyelesaikan soal pelepasan tugas dan pembelajaran," kata Dhaarma Raj.

"Perlawanan kedua jauh lebih baik dan kami menang 3-1. Di Sukan Komanwel, kami satu-satunya pasukan dengan ranking di atas Wales dalam kumpulan itu dan kami perlu mengumpul mata daripada mereka.

"Pasukan lain mempunyai ranking lebih tinggi dan kami akan bermain sebaik mungkin," kata Dhaarma Raj.

England di ranking kedua, India ke-10 dan Afrika Selatan ke-14. Malaysia di ranking ke-22 sementara Wales di ranking ke-26.

Pada aksi Sukan Komanwel Glasgow 2014, Malaysia tewas 0-5 kepada England dan seri 0-0 dengan Wales dalam Kumpulan B.

Dalam penentuan tempat ketujuh dan kelapan, Malaysia dan Kanada seri 2-2 namun menang 3-0 menerusi penentuan penalti.

"Perlawanan terakhir kami menentang India adalah sewaktu Piala Asia (tahun lalu di Kakamigahara, Jepun) dan kami tewas 2-0. Ia perlawanan yang perlu kami perbaiki selepas ini," kata Dhaarma Raj.

313 dibaca
Berita Harian X