Isnin, 16 April 2018 | 1:34pm
ATLET bowling padang, Siti Zalina Ahmad (kiri) dan Emma Firyana Saroji tiba di KLIA2. - Foto ASWADI ALIAS

Program Podium bantu kami: Siti Zalina

SEPANG: Kemenangan epik di temasya Komanwel Gold Coast 2018 tidak akan dilupakan oleh dua pemain boling padang wanita negara, Siti Zalina Ahmad dan Emma Firyana Saroji. 

Ketinggalan dengan jurang yang agak jauh sehingga end ke-13 dalam aksi final acara pairs, mereka bangkit melakarkan kemenangan 15-14 mengatasi gandingan Afrika Selatan, Nicolene Neal-Collen Piketh.

Atas faktor itulah, Siti Zalina menegaskan akan meneruskan kerjaya sebagai atlet boling padang biarpun sudah enam kali beraksi pada temasya Komanwel sejak 1998.

Tegas atlet berusia 39 tahun itu, dia mengakui penyertaan kali ini amat berbeza selepas diserapkan dalam program Podium setahun lalu.

Katanya, perubahan yang diterapkan dalam program berkenaan membawa kepada kejayaan hari ini.

"Sukan Komanwel adalah kejohanan terbesar bagi kami atlet boling padang. Persiapan rapi dilakukan sejak 2016 untuk merealisasikan sasaran satu emas.

"Program Podium membuka peluang kami mempersiapkan dari dengan menyediakan platform latihan dan pertandingan serta membentuk fizikal dan kekuatan yang padu untuk kami mencapai sasaran memperbaiki pencapaian di Glasgow pada 2014," katanya yang berkampung di Gold Coast sejak Februari lalu sebagai persediaan awal menghadapi Sukan Komanwel kali ini.

Siti Zalina dan Emma yang juga seorang anggota polis berpangkat koperal ditemui di klia2 di sini, setibanya dari Gold Coast, kira-kira jam 4 pagi tadi. Ketibaan mereka bersama atlet hoki dan wanita serta terjun diberikan sambutan wira.

Pada temasya di Gold Coast 2018 itu, mereka menjadi penyumbang pingat tunggal boling padang yang juga emas keempat untuk kontinjen negara.

Sementara itu bagi Emma, kejayaan di Sukan Komanwel itu cukup istimewa dan permulaan yang baik untuk dirinya mengejar lebih banyak kejayaan selepas ini.

Dia menyerahkan sepenuhnya kepada jurulatih Simon Botha untuk menentukan hala tujunya selepas ini.

403 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »