Selasa, 17 April 2018 | 5:53pm
AZROY Hazalwafie Izhar Ahmad (tengah) bersama Pengerusi Persatuan Angkat Berat ATM, Kolonel Inderjit Singh Bachan Singh.

Rezeki Azroy diserap ke ATM

KUALA LUMPUR: Badang negara yang menyumbang emas pertama pada Sukan Komanwel Gold Coast 2018, Azroy Hazalwafie Izhar Ahmad terharu apabila mendapat ucapan tahniah daripada majikannya Angkatan Tentera Malaysia (ATM) hasil kejayaannya itu.

Ia melonjakkan semangatnya untuk terus mengharumkan nama negara di peringkat tertinggi dalam sukan itu.

Pada perjumpaannya bersama Pengerusi Persatuan Angkat Berat ATM, Kolonel Inderjit Singh Bachan Singh, Azroy atau lebih dikenali dalam kalangan rakan sebagai Wafie turut menerima khabar gembira apabila dimaklumkan dia akan diserapkan sebagai anggota tetap ATM.

"Terima kasih kepada ATM kerana menghargai kejayaan saya. Memang impian saya untuk diterima sebagai anggota tetap ATM.

"Saya berjanji untuk terus memberi yang terbaik demi negara dan juga majikan saya," katanya yang menyasarkan untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Azroy yang sebelum ini berkhidmat dengan Rejimen 508 Wataniah Seremban berkata, kepercayaan yang diberikan oleh ATM tidak akan disia-siakan dan dia akan terus berjuang dalam sukan angkat berat.

Pada Sukan Komanwel, atlet kelahiran Rompin itu melakar sejarah tersendiri apabila muncul atlet pertama negara meraih pingat emas selepas mengungguli kategori 56kg.

Mengulas mengenai misi seterusnya, Azroy kini berusaha untuk memecahkan rekod kebangsaan milik idolanya Amirul Hamizan Ibrahim selepas berjaya memadamkan rekod Komanwel.

Rekod kebangsaan milik Amirul untuk kategori 56kg adalah 147kg dalam clean and jerk dan 121kg dalam snatch.

4387 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »