Selasa, 17 April 2018 | 6:16pm
PEMAIN Malaysia, Ho Ying. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

Lee Wei tabik anak buah

KUALA LUMPUR: Ketika ramai berpendapat kontinjen negara boleh melakukan lebih baik di Sukan Komanwel Gold Coast, skuad pingpong pula sebaliknya apabila melakukan sesuatu di luar jangkaan dengan kejayaan memenangi gangsa dalam acara beregu wanita.  

Sebelum pertandingan bermula, Persatuan Pingpong Malaysia (TTAM) hanya meletakkan sasaran mara ke suku akhir bagi acara lelaki dan wanita berikutan membariskan pemain muda yang kurang berpengalaman.  

Bagaimanapun Ho Ying, 24, dan Karen Lyne, 15, melakar sejarah menghadiahkan pingat pertama dalam acara itu apabila mara ke separuh akhir.

Mereka tewas 3-0 kepada beregu India Manika Batra-Mouma Das di separuh akhir, namun mempamerkan kebangkitan menakjubkan menundukkan satu lagi pasangan dari India, Sutirtha Mukherjee-Pooja Sahasrabudhe 3-1 ketika aksi penentuan pingat gangsa.  

Jurulatih negara, Beh Lee Wei, seperti hilang kata-kata untuk mengungkapkan kejayaan beregu wanita negara itu ketika ditemui sejurus tiba di klia2 hari ini, tetapi menegaskan bahawa skuad pingpong negara mempamerkan aksi melebihi jangkaan semua pihak.

"Saya sangat gembira kerana sebelum ke Gold Coast tiada siapa yang menjangkakan kami akan pulang dengan pingat kerana membariskan pemain muda.

"Mereka membuktikan bahawa semua itu silap dan kini berada di landasan yang tepat untuk mencapai lebih banyak kejayaan di masa depan.

"Saya berharap mereka dapat mengekalkan rentak ini dan melakukan yang terbaik pada Kejohanan Dunia di Sweden hujung bulan ini," kata Beh Lee Wei yang bersara sebagai pemain selepas membantu Malaysia merangkul pingat gangsa dan perak masing-masing dalam acara berpasukan wanita pada 2010 dan 2014.

Lee Wei, turut memuji usaha yang ditunjukkan oleh pemain lelaki yang pada pendapatnya beraksi dengan cemerlang. 

"Mereka tidak perlu untuk menang apa-apa tapi apa yang ditunjukkan oleh mereka sesuatu yang di luar jangkaan. Apabila kami (TTAM) berkata, kami mempersiapkan mereka untuk masa depan, kami tidak pernah mengharapkan mereka dapat melakukan kejutan seperti ini.

"Melihat aksi barisan pemain di Gold Coast saya berani mengatakan kami mampu untuk memenangi pingat pada edisi seterusnya (Birmingham) empat tahun dari sekarang," kata Lee Wei.

447 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »