Selasa, 17 April 2018 | 6:42pm
PENGARAH Urusan Universal Fitness & Leisure Sdn Bhd, Datuk Radha Krishnan (dua dari kanan) memperkenalkan rangkaian produk jenama terbarunya, High Peak. - Foto e-mel

UFL bantu bekas atlet jadi usahawan

 

KEPONG: Syarikat pengedar barangan sukan dan aktiviti luar terbesar di Malaysia, Universal Fitness & Leisure (UFL) Sdn Bhd, akan melancarkan program khas membantu bekas atlet kebangsaan menceburi bidang perniagaan dan keusahawanan selepas tamat Sukan Asia Jakarta 2018, Ogos nanti.

Pengarah Urusannya, Datuk Radha Krishnan, berkata sebagai permulaan UFL akan menyediakan dana RM1 juta bagi membantu sekurang-kurangnya lima atlet menceburi bidang perniagaan seperti membuka kedai menjual pakaian dan peralatan sukan atau barang aktiviti luar serta vendor syarikatnya.

Katanya, UFL juga akan menyediakan latihan dan kursus keusahawanan serta bimbingan amali sehingga setahun kepada atlet yang berminat menyertai program keusahawanan dan perniagaan terbabit.

Beliau berkata, antara syarat utama perlu dipenuhi atlet mestilah pernah mewakili Malaysia di pentas antarabangsa dan sekurang-kurangnya menang satu pingat gangsa di peringkat Sukan SEA serta mempunyai minat mendalam terhadap bidang perniagaan dan keusahawanan.

"Kita berharap usaha ini bukan hanya membantu bekas atlet kebangsaan menjana pendapatan sendiri selepas bersara, malah membolehkan mereka terus memberi sumbangan kepada masyarakat dan pembangunan sosial.    

"Bagaimanapun, butiran terperinci mengenai program keusahawanan membabitkan bekas atlet kebangsaan ini hanya akan diumumkan secara rasmi selepas Sukan Asia Jakarta 2018 berakhir pada Ogos nanti.

"Kita harap usaha ini membolehkan Malaysia ada lebih ramai usahawan yang menjual pelbagai peralatan sukan dan aktiviti luar, sekali gus memberi sumbangan semula kepada masyarakat," katanya kepada pemberita selepas sidang media sempena pelantikan UFL selaku pengedar utama produk aktiviti luar termasuk khemah dan beg tidur jenama High Pick buatan Jerman di sini, sebentar tadi.

Hadir sama, Pengerusi Eksekutif UFL, Datuk Malek Noor; Pengarah Urusan High Pick International, Thomas Folkmar dan Penolong Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara, Datuk Zakran Abdul Manan.

Mengulas lanjut, Radha menjelaskan penganjuran program keusahawan berkenaan adalah sebahagian daripada usaha berterusan UFL untuk membantu masyarakat termasuk bekas atlet Malaysia menjalani kehidupan lebih baik selepas bersara.

"Sebelum ini UFL sudah menggaji ramai bekas atlet kebangsaan dan negeri termasuklah bekas jaguh bina badan Malaysia, Datuk Malek Noor serta ramai lagi sebagai kakitangan tetap kami," katanya.

227 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »