Khamis, 11 Oktober 2018 | 11:02pm
KETUA Menteri, Adly Zahari (tengah) bergambar bersama atlet SUKMA pada majlis penyampaian insentif di Dewan Seri Bendahara, Ayer Keroh. - Foto RASUL AZLI SAMAD

Atlet Melaka terima habuan RM218,200

MELAKA: Seramai 54 atlet negeri ini yang menyumbangkan pingat pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA), Sukan Asia dan Sukan Komanwel 2018 menerima insentif daripada kerajaan negeri berjumlah RM218,200.

Acara yang menyumbang pingat adalah renang, wushu, memanah, golf, tenpin boling, badminton, petanque, taekwando, tinju, berbasikal, bola keranjang, judo, karate, olahraga, pencak silat dan sepak takraw.

Sebanyak RM184,200 disampaikan kepada 50 atlet yang cemerlang di SUKMA Perak, manakala RM24,000 diterima 16 jurulatih.

Atlet badminton yang cemerlang di Sukan Komanwel Gold Coast 2018, Goh Liu Ying menerima RM3,500, manakala Goh Soon Huat RM2,000.

Pemenang pingat gangsa menerusi acara berpasukan lelaki compound memanah pada Sukan Asia di Indonesia, Mohd Juwaidi Mazuki turut menerima insentif RM2,000 manakala atlet renang, Foo Wei Tze menerima RM2,500 selepas memecahkan rekod kebangsaan di kejohanan sama.

Majlis penyerahan insentif itu disampaikan Ketua Menteri, Adly Zahari di Seri Bendahara hari ini. Turut hadir EXCO Komunikasi, Multimedia, Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Kerk Chee Yee dan Pemangku Pengarah Majlis Sukan Negeri, Shaari Samsudin.

Adly berkata, kerajaan negeri sentiasa berusaha untuk memastikan mutu sukan sentiasa meningkat dan kebajikan atlet di negeri ini dijaga dengan baik.

"Saya yakin dari semasa ke semasa kita (kerajaan negeri) akan membuat penilaian atas pencapaian atlet dan berharap mereka dapat meningkatkan lagi prestasi bukan saja di peringkat negeri, malah peringkat lebih tinggi," katanya.

258 dibaca
Berita Harian X