Jumaat, 12 Oktober 2018 | 4:27pm
PEMAIN golf profesional negara, Ben Leong. - NSTP/Eizairi Shamsudin

Ben Leong cuba strategi berbeza

KUALA LUMPUR: Pemain golf profesional negara, Ben Leong hilang ketenangan di akhir pusingan kedua CIMB Classic dan terpaksa berpuas hati dengan catatan dua bawah par 70 untuk terikat di tangga ke-29 pada enam bawah par 138.

Pemain 32 tahun itu mengakui kesabarannya mula teruji sepanjang sembilan lubang terakhir terutama di lubang 10 dan 11 apabila dia mencatat bogey dan double bogey yang memadamkan kelebihan lima birdie dicatatnya pada hari kedua kejohanan dalam siri Jelajah PGA di lapangan TPC Kuala Lumpur hari ini.

“Bermain dengan baik di sembilan lubang pertama dan mula hilang rentak di lubang 10 dan 11,” kata Leong yang kali pertama beraksi di CIMB Classic pada tahun 2015 di mana dia mendapat tempat ke-64.

"Saya gagal mengawal kesabaran di luar sana tetapi mampu bertahan, bangkit dan melakukan birdie di lubang 12. Mungkin (kerana) ini minggu keenam berturut-turut saya, jadi saya sedikit letih.”

Leong mengharungi lima kejohanan Jelajah Asia berturut-turut dengan keputusan terbaiknya hadir di Yeangder TPC di Taiwan minggu lalu di mana dia menamatkan saingan terikat di tangga keenam untuk meraih AS$13,462 (RM56,000).

Leong akan cuba menukar strategi pada pusingan ketiga esok dalam usaha mengulangi prestasi cemerlang hari pertama di mana dia mencatat empat bawah par 68.

Seorang lagi pemain negara, Jeremiah Kim Leun Kwang yang beraksi buat kali pertama di kejohanan ini, masih belum menemui rentak apabila mengulangi catatan semalam, empat atas par 76 dan tercicir ke tangga terakhir daripada 78 pemain pada lapan atas par 152.

114 dibaca
Berita Harian X