Jumaat, 12 Oktober 2018 | 6:00pm
PEMAIN Amerika Syarikat, Gary Woodland. - NSTP/Eizairi Shamsudin

Woodland, Leishman terajui CIMB Classic

 

KUALA LUMPUR: Gary Woodland menyamai rekod lapangan TPC Kuala Lumpur selepas mencatat 11 bawah par 61 untuk berkongsi tangga teratas CIMB Classic pada 14 bawah par 130.

Pemain Amerika Syarikat (AS) itu yang menamatkan Kejuaraan PGA tiga minggu lalu terikat di tangga keenam, berkongsi tangga teratas dengan Marc Leishman dari Australia yang mencatat pusingan 68 dan 62 selepas dua hari.

Woodland, pemain nombor 38 dunia, memulakan permainan di lubang 10 dan mencatat lima birdie di sepanjang sembilan lubang pertama sebelum menamatkan pusingan kedua dengan enam lagi birdie.

“Saya bermain dengan baik. Rehat dua minggu selepas Kejuaraan Jelajah membolehkan saya membuat persiapan untuk minggu ini,” kata Woodland yang tewas pada playoff CIMB Classic 2014 kepada Ryan Moore.

“Lapangan ini menakjubkan, mereka menjaga dengan begitu baik, ia berada dalam keadaan sempurna. Bermain dengan (peraturan) ball down minggu ini juga baik sekali. Hari ini, saya bermain baik seperti semalam, saya hanya melakukan lebih banyak putt.

“Memukul bola ke atas fairway, saya rasa saya berjaya menemui green sebanyak 17 kali, dan berjaya melakukan beberapa putt.”

Sementara itu pemain nombor 24 dunia, Leishman berkata keadaan cuaca yang tidak berangin membantu permainannya untuk muncul pendahulu bersama.

“Tidak ada angin, permukaan fairway masih baik dan anda dapat membuat pukulan jauh dan sampai ke pin dengan iron pendek. Tetapi di luar fairway, sukar untuk membuat pukulan jauh,” kata Leishman yang sudah mengumpul tiga kejuaraan dalam siri Jelajah PGA.

Pemain England Paul Casey dan Shubhankar Sharmar dari India berkongsi tangga ketiga pada 13 bawah par 131 manakala pendahulu hari pertama Bronson Burgoon (AS) dan rakan senegaranya, Scott Piercy serta Austin Cook berkongsi tangga kelima pada 12 bawah par 132.

Kejohanan tanpa penyingkiran yang menawarkan hadiah keseluruhan AS$7 juta (RM29 juta) itu menampilkan 78 pemain termasuk dua pemain Malaysia Ben Leong dan Jeremiah Kim Leun Kwang.

61 dibaca
Berita Harian X