Jumaat, 12 Oktober 2018 | 7:16pm
MHC akan membariskan skuad campuran bagi mengharungi kempen Trofi Juara-Juara Asia di Oman dari 18 hingga 28 Oktober depan. - Foto hiasan

Oltmans senarai skuad campuran ke Oman

KUALA LUMPUR: Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) akan membariskan skuad campuran bagi mengharungi kempen Trofi Juara-Juara Asia di Oman dari 18 hingga 28 Oktober depan.

Pasukan lain turut berentap pada kejohanan itu adalah India, Pakistan, Oman, Jepun dan Korea Selatan.

Malaysia menamatkan edisi lalu dengan meraih pingat gangsa dan meskipun tanpa kehadiran pakar pukulan sudut penalti Razie Rahim dan pemain tengah Fitri Saari kali ini, jurulatih Roelant Oltmans percaya tiada sebab untuk mereka gagal memberikan aksi terbaik.

“Meskipun Razie tidak bersama pasukan kerana kecederaan hamstring manakala Fitri pula menghadiri majlis konvokesyen universiti, peluang terbuka buat pemain lain. Kami mempunyai skuad seimbang dan akan pergi ke Oman untuk memberikan saingan hebat kepada pasukan lain,” kata Oltmans.

Malaysia akan membuka kempen menentang juara Sukan Asia, Jepun dan Oltmans menetapkan sasaran awal mara ke separuh akhir.

“Perlawanan awal pasti sukar menentang Jepun dan ia seperti final Sukan Asia. Kami cuba untuk mara ke separuh akhir terlebih dahulu dan kemudian baru memikirkan kedudukan lebih baik,” kata Oltmans.

Senarai pemain Malaysia:

S Kumar (pg), Hairi Rahman (pg), Sukri Mutalib, Syed Syafiq Syed Cholan, Faiz Helmi, Najib Hassan, Nabil Fiqri, Marhan Jalil, Azri Hassan, Meor Azuan, Joel Samuel, Norsyafiq Sumantri, Firhan Ashari, Amirol Aideed, Tengku Ahmad Tajuddin, Faizal Saari, Nik Aiman, Shahril Saabah.

Jadual perlawanan:

18 Oktober: Malaysia mln Jepun (10.55pm)

20 Oktober: Malaysia mln Oman (1.10am)

22 Oktober: Malaysia mln Korea Selatan (10.55pm)

24 Oktober: Malaysia mln India (1.10am)

25 Oktober: Malaysia mln Pakistan (10.55pm)

375 dibaca
Berita Harian X