Ahad, 16 Julai 2017 | 6:02pm

Hamilton harap GP Malaysia kembali dalam kalendar


JUARA dunia tiga kali, Lewis Hamilton. - Foto AFP

SILVERSTONE: Juara dunia tiga kali, Lewis Hamilton, berharap Grand Prix (GP) Formula Satu (F1) Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang akan kembali dianjurkan pada masa depan.

Pemandu Mercedes AMG PETRONAS itu menyifatkan ketiadaan GP Malaysia mulai tahun depan adalah sesuatu yang sedih buat dirinya yang menganggap perlumbaan di Malaysia sangat mencabar dan menyeronokkan.

"Setiap kali berlumba di Sepang, saya sentiasa berasa seperti ada semangat baharu untuk menang kerana cabarannya.

"Ia amat berbeza ketika mula-mula berlumba dulu yang mana ketika itu saya hanya memikirkan untuk berlumba sahaja," katanya menjelang perlumbaan GP British di sini, hari ini.

Malaysia tidak akan memperbaharui kontrak untuk menganjurkan perlumbaan F1 tahun depan selepas mencapai kata sepakat dengan pemegang hak penganjuran, Liberty Media.

Hamilton berkata, GP Malaysia adalah perlumbaan menarik dan bagus kerana cabaran yang dihadirkan.

"GP Malaysia unik dan mencabar kerana cuaca panas antara 60 hingga 70 Celsius beri cabaran kepada tayar dan brek. Itu antara elemen menarik yang perlu dihadapi setiap pelumba selain berlumba," katanya.

Hamilton berkata, walaupun Litar Antarabangsa Sepang tidak menganjurkan lagi perlumbaan F1 tahun hadapan, dia sentiasa seronok datang ke Malaysia dan berharap dapat kerap mengunjunginya.

"Saya mempunyai hubungan baik dengan PETRONAS, maka akan ada peluang untuk selalu datang ke Malaysia," katanya.

509 dibaca
Berita Harian X