Ahad, 13 Ogos 2017 | 9:08pm
PELUMBA SIC Racing Team (Moto3), Adam Norrodin (belakang) menamatkan perlumbaan GP Austria di tangga kelapan sekaligus memungut lapan mata. - Foto EPA

Adam, Hafizh kutip mata, Khairul Idham tercicir

KUALA LUMPUR: Peningkatan terus dipamer penunggang Moto3 negara, Adam Norrodin apabila menamatkan perlumbaan Grand Prix (GP) Austria di tangga kelapan, hari ini.

Keputusan yang diraih pelumba pasukan SIC Racing itu di Litar Red Bull Ring adalah yang terbaik pada musim ini sekali gus memastikannya mengutip lapan mata kejuaraan berharga.

Sekalipun bermula di petak ke-15, Adam tampak terjejas prestasinya di awal perlumbaan sebelum bangkit.

"Pada permulaan, saya sedikit bergelut ketika semua pelumba tampak bermula cukup baik," kata pelumba kelahiran Batu Pahat, Johor itu.

"Apapun, kami tahu boleh lakukan yang terbaik kerana kami mempunyai kelajuan dan keyakinan itu ada sebelum dapat mengejar mereka pada pusingan berikutnya.

"Saya gembira dapat bersaing dengan kumpulan hadapan pada perlumbaan kali ini, jadi terima kasih kepada pasukan dan penaja atas kerja keras mereka dan mempercayai saya."

Perlumbaan dimenangi pelumba Sepanyol, Joan Mir dari pasukan Leopard Racing dengan catatan 37 minit 23.124 saat (s) dengan Adam melepasi garisan penamat 4.858s di belakangnya.

Pelumba Jerman, Philipp Oettl menamatkan perlumbaan di tangga kedua manakala seorang lagi pelumba Sepanyol, Jorge Martin melengkapkan kedudukan podium.

Keputusan terbaik Adam sebelum ini pada musim 2017 adalah di GP Republik Czech, minggu lalu apabila menamatkan perlumbaan di tangga ke-9.

Berakhir 11 pusingan perlumbaan, Adam kini mendaki ke tangga ke-19 keseluruhan selepas mengumpul 24 mata berbaki tujuh pusingan perlumbaan termasuk GP Malaysia, Oktober ini.

Sementara itu dalam kelas Moto2, pelumba PETRONAS Raceline Malaysia, Hafizh Syahrin Abdullah menamatkan perlumbaan di tangga ke-10 untuk mengutip enam mata kejuaraan.

Seorang lagi pelumba negara dalam kelas sama, Khairul Idham Pawi begitupun tercicir selepas melepasi garisan penamat di tangga ke-17.

Perlumbaan Moto2 di Austria dimenangi penunggang Itali, Franco Morbidelli dari pasukan Marc VDS dengan catatan 37 minit 39.370s diikuti pelumba Sepanyol, Alex Marquez, ketinggalan 1.312s manakala pelumba Switzerland, Thomas Luthi melengkapkan kedudukan podium.

Keputusan Moto3 GP Austria

1. Joan Mir (SPA) Leopard Racing, Honda, 37 minit 23.124b saat (s)

2. Philipp Oettl (GER) Südmetall Schedl GP Racing, KTM, +3.045s

3. Jorge Martin (SPA) Del Conca Gresini Moto3, Honda, +3.377s

4. Livio Loi (BEL) Leopard RacingHonda, +3.385

5. Aron Canet (SPA) Estrella Galicia 0,0, Honda, +3.502

6. Fabio di Giannantonio (ITA) Del Conca Gresini Moto3, Honda, +3.730

7. Gabriel Rodrigo (ARG) RBA BOE Racing Team, KTM, +3.804

8. ADAM NORRODIN (MAL) SIC Racing Team, Honda, +4.183

9. Jaume Masia (SPA) Platinum Bay Real Estate, KTM, +4.310

10. Enea Bastianini (ITA) Estrella Galicia 0,0, Honda, +4.858

Keputusan Moto2 GP Austria

1. Franco Morbidelli (ITA) EG 0,0 Marc VDS, Kalex, 37 minit 39.370s

2. Alex Marquez (SPA) EG 0,0 Marc VDS, Kalex, +1.312

3. Thomas Luthi (SWI) CarXpert Interwetten, Kalex, +2.544

4. Francesco Bagnaia (ITA) SKY Racing Team VR46, Kalex, +3.070

5. Mattia Pasini (ITA) Italtrans Racing Team, Kalex, +3.745

6. Takaaki NakagamI (JPN) IDEMITSU Honda Team Asia, Kalex, +8.827

7. Brad Binder (RSA) Red Bull KTM Ajo, KTM, +9.018

8. Jorge Navarro (SPA) Federal Oil Gresini Moto2, Kalex, +13.692

9. Dominique Aegerter (SWI) Kiefer RacingSuter, 170.8, +14.955

10 HAFIZH SYAHRIN (MAL) PETRONAS RACELINE MALAYSIA, KALEX, +18.997

1506 dibaca
Berita Harian X