Isnin, 4 September 2017 | 6:48pm
PENUNGGANG Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah yang mengesahkan akan berhijrah ke pasukan baharu musim depan dalam kategori sama. - Foto Goh Thean Howe

Hafizh sah sertai pasukan baharu tahun depan

KUALA LUMPUR: "Ya, saya akan ke pasukan lain tahun depan."

Itu pengakuan penunggang Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah yang mengesahkan akan berhijrah ke pasukan baharu musim depan dalam kategori sama, selepas empat musim penuh beraksi bersama PETRONAS Raceline Malaysia, sekali gus menamatkan khabar angin mengenai hala tujunya selepas ini.

Hafizh mendedahkan ada beberapa sebab mengapa dia mengambil keputusan untuk berhijrah ke pasukan lain, dengan punca utama adalah berdepan masalah dalaman.

"Saya tidak mahu mendedahkan apa yang berlaku dan tidak mahu mengaibkan sesiapa. Cukuplah sekadar saya katakan masalah dalaman.

"Itu antara sebab prestasi saya musim ini agak menurun berbanding musim lalu, bukannya masalah jentera.

"Saya cuba untuk tidak masuk campur dalam soal pengurusan pasukan, tetapi selepas melihat tiada jalan penyelesaian, maka saya perlu ambil keputusan terbaik demi kebaikan diri saya," katanya yang kini mengakui lebih selesa bekerja dengan Razmin Masli Abdul Razak selaku koordinator pasukan berbanding prinsipal pasukan Barry Leong.

Hafizh bagaimanapun menegaskan, dia tidak berdepan sebarang masalah dengan PETRONAS, penaja utama yang membina kariernya sejak sekian lama sehingga bergelar penunggang terbaik negara.

Atas faktor itu, Hafizh berharap PETRONAS akan terus menjadi penaja kepada dirinya musim depan bersama pasukan baharu.

"Walaupun saya tidak akan bersama pasukan ini musim depan, saya amat berharap PETRONAS akan tetap bersama-sama menjadi penaja untuk diri saya.

"Syarikat ini membantu membina karier saya. Jadi saya fikir saya juga bertanggungjawab untuk memberikan sesuatu dengan terus membawa jenama PETRONAS," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Penunggang 23 tahun itu bagaimanapun enggan mendedahkan pasukan yang bakal diwakilinya pada musim depan.

"Apa yang boleh saya katakan ketika ini ialah memang saya sudah ada pasukan untuk musim depan dan tetap beraksi dalam kategori Moto2.

"Selebihnya mengenai pasukan itu saya tidak boleh dedahkan. Mungkin akan dimaklumkan dalam tempoh terdekat. Matlamat utama saya ketika ini adalah mahu meraih keputusan terbaik pada baki enam perlumbaan," katanya

Selepas 12 pusingan, Hafizh kini menduduki tangga ke-13 senarai penunggang kelas Moto2 dengan 50 mata.

2885 dibaca
Berita Harian X