Jumaat, 8 September 2017 | 9:20pm
MD Izzat Zaidi Salehan ketika mendahului pelumba lain untuk mengungguli sesi kelayakan kelas CP150 pada hari pertama Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Pasir Puteh, Kelantan.
MD Izzat Zaidi Salehan muncul pelumba terpantas sesi kelayakan kelas CP150 pada hari pertama Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Pasir Puteh, Kelantan.

Cub Prix: Izzat terpantas di Kelantan

KUALA LUMPUR: Pelumba Motul Zeneos Yamaha YY Pang Racing, Md Izzat Zaidi Salehan melaungkan amaran awal apabila mengungguli sesi kelayakan kelas CP150 pada hari pertama Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Pasir Puteh, Kelantan, hari ini.

Pada aksi di Pasir Puteh Sentral itu, Izzat mencatat masa terpantas 53.171 saat (s) untuk mengatasi Ahmad Fazli Sham (PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor) yang melakukan catatan 53.281s.

Pelumba yang baharu beraksi dalam kategori elit bersama pasukan Onexox TKKR Racing, Md Hafiza Rofa mencipta kejutan apabila muncul pelumba ketiga terpantas selepas mencatatkan masa terbaik 53.519s.

Sementara itu, pendahulu keseluruhan Kasma Daniel Kasmayudin sekadar mencatat masa ketujuh terpantas selepas melakukan 53.602s dengan Fakhrusy Syakirin Rostam (SCK Rapido Hi-Rev Honda Racing) muncul pelumba tunggal Honda yang layak ke sesi Superpole, esok dengan catatan 53.545s.

"Saya sendiri tidak menjangka dapat mencatat masa terpantas kerana masih bergelut untuk mendapatkan pelarasan dan aksi terbaik di sini. Lagipun catatan saya pada sesi latihan tidak begitu baik jika dibandingkan dengan Fazli," kata Izzat.

"Mungkin faktor jentera banyak membantu pada hari ini. Selain pelarasan yang lebih baik, kami juga menggunakan beberapa peralatan baru yang membantu saya untuk mengendalikan jentera dengan lebih baik.

"Namun, masih terdapat beberapa perubahan yang perlu dilakukan dan agak sukar untuk menjangkakan siapa pelumba terbaik pada sesi Superpole esok."

Keputusan Sesi Kelayakan

CP150

1 Md Izzat Zaidi Md Salehan, Motul Zeneos Yamaha YY Pang Racing, 53.171s

2 Ahmad Fazli Sham, PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor, 53.281s

3 Md Hafiza Rofa, Onexox TKKR Racing Team, 53.519s

4 Md Ramdan Rosli, PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor, 53.539s

5 Md Azhar Abd Jalil, Motul Zeneos Yamaha YY Pang Racing, 53.541s

CP115

1 Azroy Hakeem Anuar, GiVi Honda Yuzy Racing Team, 53.560s

2 Md Akid Aziz, PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor, 53.807s

3 Tengku Amirul Haffirudin, Motul Zeneos Yamaha YY Pang Racing, 54.554s

4 Md Haziq Md Fairues, PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor, 54.602s

5 Nazirul Izzat Md Bahauddin, PETRONAS Sprinta Yamaha - CKJ, 54.721s

WIRA

1 Md Izam Ikmal Izamli, Persendirian, 55.432s

1 Md Faiz Zekri Sabri, TKKR Racing Team, 55.463s

2 Md Danial Syahmi, PETRONAS Sprinta Yamaha - AfB Tech, 55.690s

3 Md Aiman Tahiruddin, PETRONAS Sprinta Yamaha - AfB Tech, 55.523s

4 Md Syafieq Aiman, Elf Koyoko KC Racing Team, 55.795s

5 Saiful Azhary Muhamad, Idemitsu Kozi Yam Honda Racing, 55.837s

237 dibaca
Berita Harian X