Ahad, 10 September 2017 | 9:47pm
HAFIZH Syahrin jadikan kejayaan atlet negara yang meraih 145 pingat emas pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) bulan lalu sebagai inspirasi untuk menaiki podium. - Foto AGENSI

Kejayaan atlet negara di KL2017 jadi inspirasi Hafizh

KUALA LUMPUR: Selepas hampir empat musim penuh beraksi di Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP), pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah akhirnya meraih podium dengan menamatkan perlumbaan di tempat ketiga pada Grand Prix (GP) San Marino, hari ini.

Kejayaan meraih podium adalah yang pertama untuk pelumba mendapat gelaran Pescao itu di luar Malaysia selepas sering menghampiri untuk menaiki podium sebelum ini.

Pelumba PETRONAS Raceline Malaysia itu mengakui dia menjadikan kejayaan atlet negara yang meraih 145 pingat emas pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) bulan lalu sebagai inspirasi untuk menaiki podium.

"Saya yakin pada perlumbaan ini mungkin kerana begitu bersemangat selepas melihat ramai atlet negara meraih banyak pingat emas pada KL2017.

"Saya juga ingin buktikan bahawa saya boleh berjaya seperti mereka dan akhirnya saya melakukannya untuk meraih tempat ketiga.

"Hanya ucapan terima kasih kepada keluarga, rakan-rakan serta peminat yang tidak pernah jemu memberi sokongan.

"Terima kasih kepada Allah yang memberi peluang kepada saya untuk merasai peluang ini. Yang penting ialah saya tidak pernah berputus asa untuk terus mencuba.

"Saya belajar daripada segala kesilapan sebelum ini dan cuba memahami segala-galanya," katanya selepas tamat perlumbaan.

Bermula di petak ke-14 dalam keadaan litar basah, Hafizh mempamer tunggangan meyakinkan untuk memotong satu persatu pelumba di depannya.

Perlumbaan itu dimenangi oleh Dominique Aegerter dari pasukan Kiefer Racing sementara Thomas Luthi (CarXpert Interwetten), kedua.

Hafizh pernah menduduki tangga ketiga pada 2012 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) ketika beraksi menerusi tiket wild card dan kemenangan itu hanya diperoleh selepas kira-kira setahun kerana pelumba yang meraih podium ketiga ketika itu, Anthony West gagal ujian doping.

Dengan kejayaan itu, Hafizh meraih 16 mata berharga dan kini menduduki tangga ke-10 kedudukan pelumba dengan mengumpul 66 mata.

Seorang lagi pelumba negara Khairul Idham Pawi dari Idemitsu Honda Team Asia juga cemerlang apabila menamatkan perlumbaan di kedudukan kesembilan selepas bermula di petak ke-29.

Pada saingan Moto3, pelumba SIC Racing Team, Adam Norrodin gagal menamatkan perlumbaan.

892 dibaca
Berita Harian X