Rabu, 13 September 2017 | 7:19pm
DATUK Razlan Razali berkata, pihaknya sama sekali tidak akan 'mengganggu' seseorang pelumba itu sekiranya mereka masih mempunyai kontrak atau apa saja ikatan perjanjian dengan mana-mana pihak. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
PELUMBA PETRONAS, Hafizh Syahrin meraih podium tempat ketiga di GP San Marino. - Foto AFP

Razlan nafi curi pelumba

SEPANG: Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Razali menafikan pihaknya kerap mempunyai pendekatan untuk 'mencuri pelumba' bagi menyertai pasukan mereka.

Razlan berkata, perkara sama juga berlaku kepada Hafizh Syahrin Abdullah, pelumba yang berada dalam radar pihaknya untuk beraksi bersama SIC Racing Team yang akan diwujudkan bagi menghadapi saingan Moto2 musim depan.

"Apa yang saya dengar SIC atau saya ada reputasi untuk mencuri pelumba. Jika pelumba itu tidak ada sebarang kontrak lagi kenapa kami perlu dikatakan mencuri pelumba?

"Begitu juga dengan Hafizh, kami sudah meneliti semua perkara sebelum mempertimbangkan untuk mengambilnya sebagai pelumba kami," katanya ketika ditemui hari ini.

Razlan berkata, pihaknya sama sekali tidak akan 'mengganggu' seseorang pelumba itu sekiranya mereka masih mempunyai kontrak atau apa saja ikatan perjanjian dengan mana-mana pihak.

Razlan sebelum ini mengesahkan pihaknya berminat untuk mendapatkan Hafizh yang kini beraksi dengan PETRONAS Raceline Malaysia pada saingan Moto2.

Mengulas mengenai perkembangan itu, Razlan berkata, pihaknya akan membuat pengumuman secara rasmi dalam tempoh terdekat.

"Tapi yang pasti pasukan baru itu hanya akan disertai oleh seorang pelumba saja kerana kami juga perlu memikirkan soal bajet sekiranya mahu menggunakan dua pelumba," katanya.


HAFIZH Syahrin ketika beraksi di GP San Marino. - Foto AFP

Hafizh sebelum ini mengesahkan akan berhijrah ke pasukan baru pada musim depan dalam kategori sama selepas empat musim penuh beraksi bersama PETRONAS Raceline Malaysia.

Pelumba berusia 23 tahun itu mendedahkan masalah dalaman dengan individu tertentu adalah menjadi punca utama kepadanya untuk mengubah angin.

Bagaimanapun, Hafizh menegaskan, dia tidak berdepan sebarang masalah dengan PETRONAS, penaja utama yang membina kariernya sejak sekian lama sehingga bergelar pelumba terbaik negara.

1105 dibaca
Berita Harian X