Rabu, 13 September 2017 | 7:45pm
KETUA Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali (kanan) bersalaman dengan Pengerusi SIC, Tan Sri Azman Yahya ketika sidang media berhubung penamatan penganjuran F1, April lalu. - Foto Yazit Razali

Kontrak Razlan dengan SIC dilanjut 2 tahun

SEPANG: Penganjuran edisi terakhir Formula Satu (F1) Grand Prix Malaysia tahun ini tidak menggugat posisi Datuk Razlan Razali di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) apabila kontraknya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif dilanjutkan selama dua tahun, minggu lalu.

Selepas mengemudi SIC sejak 2008, Razlan ketika ditemui, hari ini mengesahkan perkembangan positif berkenaan dengan kontraknya dijadualkan berakhir selepas seminggu GP Malaysia berakhir iaitu pada 8 Oktober ini.

"Selepas perbincangan pada minggu lalu, pihak MOF (Kementerian Kewangan) sebagai pemegang saham terbesar SIC bersetuju untuk melanjutkan kontrak saya selama dua tahun.

"Jadi saya amat bersyukur dengan perkembangan ini dan berharap akan terus memberikan sumbangan yang terbaik meski pun F1 tidak lagi dianjurkan di Malaysia," katanya.

Mengulas perkembangan perlumbaan GP Malaysia hujung bulan ini, Razlan berkata jualan tiket setakat ini sudah mencecah 40,000 namun ia masih dianggap perlahan bagi edisi istimewa F1nale.

Berbaki 18 hari sebelum perlumbaan terakhir F1 di Malaysia itu, Razlan berkata jumlah berkenaan jauh daripada yang dijangkakan dan berharap ia terus meningkat.

"Setakat ini sudah 40,000 tiket sudah dijual daripada sasaran kami iaitu 70,000 tiket.

"Berdasarkan jumlah jualan tiket yang teruk tahun lalu, kami tidak mahu terlalu meletakkan harapan yang terlalu tinggi. Namun, berbaki lebih dua minggu lagi sebelum perlumbaan, saya berharap ia akan meningkat.

"Bagi saya, ini kali terakhir rakyat Malaysia untuk melihat F1 di tempat sendiri dan kami sudah merancang pelbagai aktiviti bagi menarik kehadiran penonton," katanya.

Bagi edisi F1nale, Razlan menyasarkan kehadiran penonton sebanyak 102,000 bagi ketiga-tiga hari perlumbaan berbanding 83,000 kehadiran penonton pada edisi tahun lalu.

325 dibaca
Berita Harian X