Jumaat, 13 Oktober 2017 | 8:25am
PEMANDU Red Bull-Toro Rosso, Pierre Gasly hampir pasti terlepas GP Amerika Syarikat disebabkan tarikh perlumbaan sama dengan Formula Super Jepun di Suzuka. - Foto EPA

F1: Toro Rosso pening pilih pemandu

LONDON: Pasukan Red Bull-Toro Rosso sekali lagi bakal berdepan isu pertukaran pemandu dalam saingan Formula Satu (F1) berikutan kedudukan tidak menentu Pierre Gasly menjelang perlumbaan Grand Prix (GP) Amerika Syarikat (AS), minggu depan.

Pelumba muda dari Perancis itu tampil buat kali pertama di GP Malaysia dan bersaing di GP Jepun minggu lalu bersama rakan sepasukan dari Sepanyol, Carlos Sainz manakala pemandu Russia, Daniil Kvyat tidak disenaraikan dalam semua GP berkenaan.

Sainz akan berlumba untuk pasukan Renault pada musim depan.

Perkembangan semasa itu mungkin akan membuka peluang kepada Daniil Kvyat untuk kembali beraksi kerana Gasly hampir pasti terlepas GP Amerika Syarikat disebabkan tarikh perlumbaan sama dengan Formula Super Jepun di Suzuka.

Untuk perlumbaan di Jepun, Gasly berpeluang cerah untuk meraih kejuaraan bersama Team Mugen.


CARLOS Sainz akan berlumba untuk pasukan Renault pada musim depan. - Foto AFP

Jurucakap Toro Rosso juga belum dapat memastikan siapa yang akan diturunkan untuk perlumbaan GP AS ketika pasukan itu seperti kekurangan pelumba yang memiliki lesen.

Bekas pelumbanya pada 2011, Sebastien Buemi yang menjuarai perlumbaan Formula E mungkin akan menjadi antara seorang pelumba pilihan untuk mengisi kekosongan itu.

Juara perlumbaan Le Mans, Brendon Hartley turut dikaitkan dan motorsport.com menyifatkan pelumba New Zealand itu antara calon yang berpeluang merebut tempat itu.

Hartley adalah bekas pelumba simpanan Red Bull, namun belum pernah berlumba dengan jentera Formula 1 sejak 2012. - Reuters

487 dibaca
Berita Harian X