Khamis, 26 Oktober 2017 | 9:59pm
SERAMAI 160,000 pengunjung dijangka membanjiri SIC bagi menyaksikan perlumbaan GP Malaysia yang bermula esok - lebih ramai daripada perlumbaan F1 yang berlangsung awal bulan ini. - Foto Asyraf Hamzah

Polis jamin keselamatan, kelancaran GP Malaysia

SEPANG: Polis memberi jaminan tahap keselamatan di tahap tertinggi bagi memastikan kelancaran perlumbaan MotoGP Grand Prix (GP) Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) hujung minggu ini.

Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Zulkifli Adamsah berkata, pihaknya menggerakkan anggota yang mencukupi terutama bagi mengawal pergerakan lalu lintas dan keselamatan pengunjung yang hadir bagi menyaksikan perlumbaan berprestij itu.

"Kali ini kami tidak akan dedahkan berapa ramai pegawai yang terbabit tapi kami sudah bersedia dengan jumlah pegawai yang mencukupi bagi menjaga keselamatan serta lalu lintas," kata Zulkifli.

"Saya ingin mengingatkan pengunjung supaya utamakan keselamatan terutama di kawasan tempat letak kenderaan, letak kenderaan di kawasan yang disediakan dan jangan letak barang berharga dalam kenderaan kerana kami percaya ada kumpulan tertentu mahu mengambil kesempatan.

"Ketika perlumbaan Formula Satu, ada kes membabitkan insiden seperti ini jadi kami menasihatkan sekali lagi kepada pengunjung supaya lebih berhati-hati.

"Selain itu saya juga ingin nasihatkan peminat supaya berhati-hati untuk mengelak insiden kecurian terutama penyeluk saku selain tiket palsu," katanya ketika sidang taklimat trafik dan keselamatan di sini, hari ini.

Sementara itu, Zulkifli berkata, pihaknye turut tidak berkompromi jika ada pihak yang menggunakan khidmat marsyal bagi konvoi berkumpulan untuk mengawal keadaan trafik kerana ia satu kesalahan.

"Ingin saya tegaskan di sini tiada sebarang marsyal mengawal atau menghalang lalu lintas terutama bagi konvoi dibenarkan bagi perlumbaan kali ini.

"Nasihat saya kepada peminat yang akan ke sini juga datang lebih awal, ikuti arahan polis trafik yang berada di lokasi yang mana kami juga sudah sediakan papan tanda di lokasi tertentu.

"Jadi guna papan tanda yang disediakan untuk ke destinasi yang dituju," katanya.

Seramai 160,000 pengunjung dijangka membanjiri SIC bagi menyaksikan perlumbaan GP Malaysia yang bermula esok - lebih ramai daripada perlumbaan F1 yang berlangsung awal bulan ini.

191 dibaca
Berita Harian X