Ahad, 12 November 2017 | 2:01am
PEMANDU Mercedes, Valtteri Bottas (tengah) catat masa terpantas 1 minit 08.322 saat pada sesi ujian kelayakan di Litar Interlagos, sebentar tadi. Pemandu Ferrari, Sebastian Vettel bermula di petak kedua diikuti rakan sepasukan, Kimi Raikkonen petak ketiga. - Foto REUTERS

Bottas sambar petak pertama GP Brazil

SAO PAULO: Valtteri Bottas menyambar petak hadapan perlumbaan Formula Satu (F1) Grand Prix (GP) Brazil selepas mencatat masa terpantas 1 minit 08.322 saat pada sesi ujian kelayakan di Litar Interlagos, sebentar tadi.

Bottas memanfaatkan sepenuhnya ketiadaan rakan sepasukan di Mercedes, Lewis Hamilton yang terkeluar daripada aksi kelayakan selepas terbabit kemalangan.

Pemandu Ferrari, Sebastian Vettel akan menyertai Bottas di kelompok hadapan apabila mencatat masa kedua terpantas manakala rakan sepasukannya, Kimi Raikkonen akan memulakan perlumbaan di petak ketiga.

Pemandu Red Bull, Max Verstappen pula menamatkan saingan ujian kelayakan dengan catatan keempat terpantas. Hamilton yang merekodkan gelaran juara dunia buat kali keempat di Mexico, dua minggu lalu turun dengan misi memburu petak hadapan ke-12 musim ini.

Bagaimanapun, dia terbabit dengan kemalangan yang menyaksikannya hilang kawalan ke atas jentera dan melanggar penghadang litar di selekoh keenam pada sesi ujian kelayakan pertama.

Ia boleh dikatakan kesilapan mudah yang dilakukan pemandu berpengalaman berkenaan. Dia bermula di petak hadapan dan muncul juara di Litar Interlagos, musim lalu.

Pemandu Britain itu terpaksa akur apabila bakal memulakan perlumbaan di petak paling belakang. - REUTERS

______________________________________________________________________

KEPUTUSAN KELAYAKAN GP BRAZIL.

1. Valtteri Bottas (Finland) Mercedes 1:08.322.

2. Sebastian Vettel (Jerman) Ferrari 1:08.360.

3. Kimi Raikkonen (Finland) Ferrari 1:08.538.

4. Max Verstappen (Belanda) Red Bull - TAG Heuer 1:08.925.

5. Daniel Ricciardo (Australia) Red Bull - TAG Heuer 1:09.330.

6. Sergio Perez (Mexico) Force India - Mercedes 1:09.598.

7. Fernando Alonso (Sepanyol) McLaren 1:09.617.

8. Nico Huelkenberg (Jerman) Renault 1:09.703.

9. Carlos Sainz Jr (Sepanyol) Renault 1:09.805.

10. Felipe Massa (Brazil) Williams-Mercedes 1:09.841.

11. Esteban Ocon (Perancis) Force India - Mercedes 1:09.830.

12. Romain Grosjean (Perancis) Haas - Ferrari 1:09.879.

13. Stoffel Vandoorne (Belgium) McLaren 1:10.116.

14. Kevin Magnussen (Denmark) Haas - Ferrari 1:10.154.

15. Brendon Hartley (New Zealand) Toro Rosso - Renault

16. Pascal Wehrlein (Jerman) Sauber - Ferrari 1:10.678

17. Pierre Gasly (Perancis) Toro Rosso - Renault 1:10.686

18. Lance Stroll (Kanada) Williams-Mercedes 1:10.776

19. Marcus Ericsson (Sweden) Sauber - Ferrari 1:10.875.

20. Lewis Hamilton (Britain) Mercedes

358 dibaca
Berita Harian X