Ahad, 12 November 2017 | 11:41am
PENGARAH Urusan Litar Silverstone, Stuart Pringle lega sambung kontrak anjur MotoGP hingga 2020.

Silverstone anjur MotoGP hingga 2020

LONDON: Selepas mengumumkan lanjutan kontrak, Litar Silverstone akan terus menganjurkan perlumbaan MotoGP sehingga 2020.

Pemegang hak MotoGP, Dorna berkata perjanjian itu dicapai selepas penamatan kontrak dengan Litar Wales, yang tertangguh pembinaannya.

Silverstone sudah pun menganjurkan saingan MotoGP sejak 2010 dan ia sebahagian daripada perjanjian dengan Litar Wales yang sepatutnya jadi penganjur dari 2015 hingga 2019 namun sehingga sekarang ia masih belum berjaya mendapatkan peruntukan.

"Sejak kebelakangan ini, terlalu banyak masa dan perbelanjaan dilakukan bagi memastikan peminat, pasukan dan pelumba MotoGP menikmati apa yang ada di Silverstone dan kami gembira dapat memastikan kontrak sehingga 2020," kata Pengarah Urusan Litar Silverstone, Stuart Pringle.

"Perlumbaan dua roda adalah sebahagian daripada warisan di Silverstone dan kami tidak sabar untuk menerima kehadiran penyokong."

Litar Silverstone turut menjadi tuan rumah kepada perlumbaan Grand Prix Formula Satu namun masa depan penganjurannya masih belum dapat dimuktamadkan lagi.

Tahun ini, litar Silverstone menerima kehadiran penyokong Formula Satu paling ramai dengan jumlah 300,000 orang sepanjang empat hari perlumbaan namun dalam saingan MotoGP, ia hanya berjaya menarik kehadiran 56,000 pada hari perlumbaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Dorna, Carmelo Ezpeleta berkata Britain adalah salah satu siri perlumbaan terpenting perlumbaan ini yang dikuasai oleh pelumba Itali dan Sepanyol.

"United Kingdom adalah pasaran terpenting buat Dorna dan ia akan kekal dalam kalendar motoGP, terutamanya dengan pengenalan British Talent Cup, tahun depan," katanya. - Reuters

77 dibaca
Berita Harian X